Jumaat, 28 Disember 2018 | 12:44pm

Perhimpunan agung tahunan BERSATU buka tirai di Putrajaya

PUTRAJAYA: Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) kali kedua membuka tirai dengan pembukaan serentak perhimpunan agung tahunan sayap Srikandi dan Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) malam ini.

Majlis perasmian perhimpunan sayap parti itu akan disempurnakan Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di pusat pentadbiran kerajaan persekutuan.

Secara keseluruhan, kira-kira 1,600 perwakilan Srikandi dan Armada akan menghadiri perhimpunan sayap parti yang berakhir petang esok.

Turut dijadual diadakan hari ini ialah mesyuarat khas Majlis Pimpinan Tertinggi parti dipengerusikan Muhyiddin.

Selesai perhimpunan Srikandi dan Armada, malam esok bakal berlangsung acara perasmian PAT parti komponen Pakatan Harapan (PH) itu yang akan disempurnakan Perdana Menteri merangkap Pengerusi BERSATU, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dr Mahathir dijadual menyampaikan ucapan dasar di Dewan Plenary PICC dengan kehadiran kira-kira 1,550 perwakilan daripada 135 bahagian BERSATU di seluruh negara.

PAT BERSATU bersambung pada Ahad dengan ucapan oleh Muhyiddin selain sesi perbahasan oleh perwakilan.

Kemuncak PAT itu menyaksikan pemimpin parti termasuk Dr Mahathir dan Muhyiddin menyampaikan ucapan penangguhan masing-masing.

PAT BERSATU dari 28 hingga 30 Disember itu kali pertama diadakan selepas PH menerajui kepimpinan negara susulan Pilihan Raya Umum ke-14 pada Mei lalu. – BERNAMA

PETUGAS membuat persiapan di dalam Dewan Planery, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) sempena Perhimpunan Agung Tahunan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU). - NSTP/Eizairi Shamsudin
PETUGAS membuat persiapan di dalam Dewan Planery, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) sempena Perhimpunan Agung Tahunan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU). - NSTP/Eizairi Shamsudin
Berita Harian X