Sabtu, 29 Disember 2018 | 12:13pm
KETUA Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Seri Rina Harun berucap pada Perhimpunan Agung Tahunan Srikandi BERSATU kali pertama 2018 di Putrajaya, hari ini. - Foto Eizairi Shamsudin

Rina imbau pahit getir perjuangan Srikandi

PUTRAJAYA: Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Seri Rina Harun hari ini mengimbau pahit getir perjuangan sayap itu sebelum Pakatan Harapan (PH) memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Rina berkata, selepas penubuhan Srikandi pada 5 April 2017, ahli parti itu menjelajah ke seluruh negara untuk menambah keahlian di peringkat bahagian dan berdepan pelbagai cabaran untuk menarik sokongan.

"Kita terjah buat program keahlian bukan di satu kampung dan flat saja, tapi di seluruh negara. Ada banyak ugutan yang kita terima tapi kita tetap cekal meneruskan misi demi perjuangan.

"Kita tidak putus asa walaupun ketika kita mencari keahlian Srikandi, ramai yang menjadi ahli adalah lelaki. Kita dapat 1,000 ahli tapi 60 peratus adalah lelaki.

"Itu tidak jadikan kita putus asa. Bila berjumpa wanita, mereka kata kalau mereka masuk BERSATU, banyak kebajikan mereka akan dipotong, kerana sifat wanita itu melindungi dan mereka perlu melindungi keluarga mereka," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar Ketua Srikandi BERSATU pada Perhimpunan Agung Tahunan Srikandi BERSATU kali pertama 2018 di sini, hari ini.

Rina berkata, walaupun dikecam dan difitnah ketika turun ke bawah, ahli parti itu tetap bersatu dan bersama sehingga hari ini.

"Ada antara kita yang ditawarkan wang beratus ribu, jawatan dan sebagainya namun kita tolak. Kita beritahu kita tetap setia dengan kepemimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad (Pengerusi BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin (Presiden) dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir (Timbalan Presiden)," katanya.

Rina berkata, parti itu juga berdepan kesukaran di awal penubuhannya apabila ramai ahlinya yang tidak mempunyai pengalaman dalam politik.

"Kita tetap teruskan dengan semangat kita walaupun diperlekeh Wanita UMNO yang mempunyai sejuta ahli. Kita mampu buktikan bahawa kita hari ini adalah parti yang memerintah bersama PH," katanya.

Berita Harian X