Selasa, 1 Januari 2019 | 6:12pm
DR Dzulkefly Ahmad. - NSTP/Mahzir Mat Isa
DR Dzulkefly Ahmad. - NSTP/Mahzir Mat Isa

Tuntut projek: Itu kebebasan bersuara - AMANAH

KUALA LUMPUR: Cadangan dikemukakan seorang pemimpin kanan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) supaya ahlinya diberikan tender projek kerajaan ialah sekadar amalan hak kebebasan bersuara.

Pengarah Strategi Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, ketika menyuarakan pendirian itu menyifatkan perkara yang diusulkan menerusi pentas perbahasan sempena Perhimpunan Agung Tahunan BERSATU itu hanya untuk tujuan percambahan minda bagi menggubal dasar parti berkenaan.

“Itu hal dalaman parti yang saya tidak mahu komen lanjut. Mereka mempunyai hak untuk mengutarakan pandangan sedemikian kerana inilah demokrasi, tanpa menyekat mana-mana pihak menyuarakan pandangan ke arah penggubalan dasar parti.

“Saya tidak ingin mengulas sama ada ia (pandangan sedemikian) betul atau salah. Dalam politik, ia lebih berkisar kepada sesuatu yang munasabah berbanding betul atau salah,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan tinjauan dan promosi tempat makan sebagai larangan merokok, di sekitar deretan kedai dekat Bandar Permaisuri, dekat Cheras, di sini.

Pada Ahad lalu, Naib Presiden BERSATU, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman, dilapor mencadangkan peranan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) dikembalikan supaya sistem itu memanfaatkan ketua bahagian dan ketua cawangan parti, sekali gus membolehkan mereka ‘memulangkan’ semula faedah yang diperoleh demi kebaikan masyarakat setempat.

Kenyataan sensasi yang memberi gambaran supaya kontrak diberi secara amalan kronisme dan rundingan terus dalam usaha meraih sokongan penduduk setempat menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) itu kemudian dikecam Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).

Ketua Penerangan Armada, Ulya Aqamah Husamudin, dilaporkan berkata proses penganugerahan tender dalam zaman Malaysia baharu sebaliknya perlu bersandarkan merit dan kelayakan penerima, berbanding dasar ‘pilih kasih’.

Sehubungan itu, Armada menolak dan akan tampil memerangi sebarang tindakan dalam kepemimpinan BERSATU yang dikesan memberikan tender secara rundingan terus dan amalan ‘kabel’ parti.

Berita Harian X