Ahad, 13 Januari 2019 | 3:59pm
SEORANG pejalan kaki melintasi puluhan bendera Pakatan Harapan yang dipasang sepanjang laluan pejalan kaki sempena PRK Parlimen Cameron Highlands di Pekan Tanah Rata. - NSTP/Aizuddin Saad

Perang bendera mulakan siri kempen PRK

CAMERON HIGHLANDS: Kawasan peranginan terkenal, Cameron Highlands mula dihiasi dengan ribuan bendera merah dan biru yang berkibar di sepanjang laluan keluar masuk ke bandar itu.

Kibaran bendera Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) itu memulakan bahang siri kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands kali ini, yang berlangsung selama 14 hari sehingga 25 Januari ini.

Sejak lewat malam tadi, petugas dan jentera parti yang bertanding sudah mula memasang bendera parti masing-masing di sepanjang jalan utama memasuki kawasan peranginan yang ketika ini merekodkan purata bacaan suhu harian antara 16 hingga 27 darjah celcius.

Beberapa kawasan bermula dari laluan masuk ke Cameron Highlands dari Simpang Pulai, sehingga ke laluan menurun ke Tapah, Perak sudah dipasang dengan ribuan bendera PH dan BN.

Kebanyakan bendera dipasang di lokasi tumpuan orang ramai seperti Tanah Rata serta Brinchang, dengan setiap bendera dipasang dipagar dan tiang lampu berhampiran jalan.

Setakat ini, tidak kelihatan kibaran bendera mana-mana parti yang bertanding dipasang oleh parti komponen BN dan PH, kerana ia jelas melanggar Akta Kesalahan Pilihanraya 1954.

Sementara itu, beberapa bilik gerakan parti yang bertanding juga dibuka dengan petugas serta jentera kempen PH dan BN sudah memulakan gerak kerja kempennya di semua 29 Pusat Daerah Mengundi (PDM) di parlimen ini.

Selain program kemasyarakatan diatur di setiap lokasi dikunjungi, petugas serta jentera kempen ini juga mengadakan program kunjungan ke rumah-rumah pengundi termasuk di kawasan penempatan Orang Asli.

Bermula hujung minggu ini, dijangka lebih ramai petugas dan jentera kempen dari kedua-dua parti yang bertanding akan berkampung di sini, sebagai fasa terakhir kempen menarik sokongan pengundi kepada calon mereka.

PRK Parlimen Cameron Highlands menyaksikan saingan empat penjuru membabitkan calon PH, M Manogaran; calon BN, Ramli Mohd Noor; serta dua calon Bebas iaitu Sallehudin Ab Talib dan Wong Seng Yee.

180 dibaca
Berita Harian X