Rabu, 16 Januari 2019 | 4:24pm

Dah kempen di 50 peratus kawasan - Calon Bebas

CAMERON HIGHLANDS: Masuk hari ke lima berkempen, calon Bebas Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands, Wong Seng Yee, 40, mengakui kempennya telah meliputi separuh kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanah Rata dan akan menghabiskannya menjelang hujung minggu ini.

Menurutnya, minggu hadapan dia akan berkempen di kawasan penduduk Orang Asli di DUN Jelai yang disifatkannya bakal berdepan cabaran lebih sukar kerana tidak mempunyai jentera kempen secukupnya.

“Sejak Isnin lalu, saya mula berkempen di kampung saya di Bertam Valley sebelum berikutnya ke Ringlet, Habu, Kampung Raja dan Kuala Terlah.

“Hari ini sehingga hujung minggu ini saya adakan kempen tinjauan mesra dengan pengundi di kawasan Tanah rata, Brincang, Kea farm dan Tringkap.

Calon Bebas Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen 078 Cameron Highlands, Wong Seng Yee (kiri) beramah mesra dengan pengundi ketika berkempen sekitar Habu Height, Cameron Highlands. - Foto Abdullah Yusof

“Minggu depan barulah saya akan ke DUN Jelai ke kampung Orang Asli yang pastinya sukar bagi seorang calon Bebas berkempen dengan jentera yang terhad,” katanya ketika ditemui media pada program tinjauan mesra di Tanah Rata di sini hari ini.

Ditanya mengenai jadual kempennya, pemilik ladang berkelulusan Ijazah Sarjana Sains Horticultural dari University of Nebraska-Lincoln Amerika Syarikat itu berkata, kempen bermula seawal 7 pagi sehingga 10 malam.

“Awalnya saya menghadapi sedikit masalah apabila terpaksa meluangkan masa kira-kira tiga jam untuk menguruskan ladang bunga namun masalah itu dapat diatasi.

“Jadi sekarang saya mahu menumpukan lebih banyak masa kepada jadual kempen yang berbaki 11 hari lagi sebelum hari pengundian 26 Januari ini,” katanya.

Calon Bebas Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands, Wong Seng Yee (kiri) beramah mesra dengan pengundi ketika berkempen sekitar Tanah Rata, Cameron Highlands. - Foto Abdullah Yusof
Berita Harian X