Selasa, 22 Januari 2019 | 4:09pm
GAMBAR fail, bekas Ahli Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mustapa Mohamed. - Foto Nik Abdullah Nik Omar

Tolak BN, elak kesilapan berulang

LIPIS: Kegagalan kerajaan diterajui Barisan Nasional (BN) menguruskan pengagihan semula kutipan cukai barang dan perkhidmatan (GST) dan lebihan cukai pendapatan antara kesilapan yang tidak boleh dimaafkan.

Bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, BN juga bertanggungjawab dalam isu hutang FELDA yang ketika ini mencecah RM8 bilion.

“Kalau kita terus beri peluang kepada mereka (BN) mentadbir negara, sudah pasti lebih banyak masalah kritikal akan kita hadapi.

“Sebab itu, dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands pada 26 Januari ini, pengundi perlu menolak calon mereka (BN) dan pilih calon mewakili Pakatan Harapan (PH),” katanya ketika berucap dalam program ceramah kelompok PH di Kampung Kuala Medang, dekat sini, malam tadi.

Mengulas mengenai kegagalan kerajaan BN melunaskan pembayaran balik GST berjumlah RM19 bilion dan lebihan cukai pendapatan sebanyak RM16 bilion, Mustapa berkata ia membuktikan ketidakcekapan kerajaan dalam menguruskan pentadbiran negara.

Katanya, lebih banyak masalah akan timbul jika BN menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

“Ini adalah sebahagian himpunan masalah yang sedang kerajaan PH hadapi dan tangani... bayangkan kalau mereka (BN) menang (PRU-14), negara kita akan berdepan masalah cukup besar... makin teruk masa depan kita.

“Mereka (BN) buat benda yang tak boleh bertahan lama... satu hari syok, tetapi suatu hari nanti ketika kita kena bayar hutang, kita kena bayar (dengan) harga yang begitu tinggi,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Jeli dan bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, mengumumkan keluar UMNO September lalu, sebelum menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) sebulan kemudian.

Mustapa turut meminta pengundi di kawasan Kuala Medang memilih calon PH dan menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap kepemimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

5154 dibaca
Berita Harian X