Sabtu, 2 Februari 2019 | 6:41pm
TIMBALAN Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Salahuddin Ayub. - Foto NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor

Tunggu jawapan PM - Salahuddin

KOTA BHARU: Parti Amanah Negara (AMANAH) akan menunggu maklum balas daripada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung isu pelantikan jawatan pengerusi Majlis Tindakan Negeri (MTNg) Kelantan.

Timbalan Presidennya, Datuk Salahuddin Ayub, berkata beliau sudah membawa perkara berkenaan dalam Mesyuarat Presiden Pakatan Harapan (PH), semalam dan pandangan itu diterima baik.

“Kita sangat demokratik dalam memberi pandangan dalam PH, jadi saya salurkan pandangan berhubung isu pelantikan pengerusi MTNg ini. Dr Mahathir sudah meminta pandangan kita semua khususnya AMANAH.

“Jadi terpulang kepada Perdana Menteri kerana pelantikan itu di bawah kuasa beliau. Apa-apa pun kita tunggu jawapan Dr Mahathir,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

BH Online semalam melaporkan AMANAH Kelantan menolak pelantikan Mohamed Azmin sebagai Pengerusi MTNg Kelantan berikutan melanggar persetujuan yang dicapai dalam Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14.

Naib Pengerusi AMANAH Kelantan, Che Ibrahim Mohamed dilaporkan berkata, sepatutnya Pengerusi PH Kelantan, Datuk Husam Musa dilantik untuk jawatan berkenaan memandangkan Kelantan, Terengganu dan Melaka sudah dipersetujui untuk diserahkan serta diurus parti berkenaan.

Ditanya mengenai perjanjian mengatakan Kelantan diserahkan kepada AMANAH untuk diurus, Salahuddin yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, berkata perkara berkenaan sememangnya sudah diputuskan ketika menubuhkan PH.

“Kita memang konsensus yang mana Kelantan diberikan kepada AMANAH, manakala Johor kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), serta Selangor kepada PKR.

“Jadi, apa yang berlaku kita tunggu dulu jawapan Dr Mahathir memandangkan kita sudah suarakan pandangan itu kepada beliau,” katanya.

Cubaan BH untuk mendapatkan Husam gagal apabila panggilan telefon dan mesej tidak dijawab setakat petang ini.

1445 dibaca
Berita Harian X