Ahad, 3 Februari 2019 | 1:05pm

Penyertaan IKATAN perlu penelitian - Rina

KUALA LUMPUR: Penyertaan sesebuah parti dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) perlu dibincangkan secara teliti pada peringkat pucuk pimpinan tertinggi.

Ketua Srikandi BERSATU, Datuk Seri Rina Mohd Harun, ketika mengulas mengenai desas desus Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN) ingin menyertai BERSATU, berkata usul itu tidak sama dengan penyertaan individu.

“Kalau babitkan parti, saya tidak boleh mengulas lanjut kerana dalam mesyuarat peringkat tertinggi parti baru-baru ini pun, perkara itu (kemasukan parti IKATAN) tidak dibincangkan,” katanya pada sidang akhbar program jelajah mesra bertemu orang ramai di Taman Maluri di sini, hari ini.

IKATAN adalah antara parti dalam blok Gagasan Sejahtera diketuai bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir, dengan keahlian dianggarkan sekitar 15,000 orang.

Rina yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar, berkata beliau hanya mengetahui mengenai perkara itu menerusi laporan media dan tidak mempunyai maklumat lanjut.

“Perkara ini terserah kepada pucuk pimpinan parti,” katanya.

Pada program jelajah mesra hari ini, Rina yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa, mengedarkan lebih 1,000 limau mandarin kepada masyarakat kawasan berkenaan.

Rina berkata pihaknya akan menganjurkan sambutan Tahun Baharu Cina bermula jam 7 petang hingga 11 malam di Jalan Jejaka, Taman Maluri pada 10 Februari ini.

Sementara itu, mengulas mengenai Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, Rina berkata Srikandi menyerahkan dua nama untuk dipertimbangkan sebagai calon parti itu.

“Saya kira penilaian sedang dibuat dan saya yakin calon terpilih nanti adalah yang terbaik,” katanya.

Beliau berkata sejak seminggu lalu Srikandi sudah ‘turun padang’ mendekati masalah masyarakat di situ.

Antara isu dibangkitkan ialah banjir dan kesesakan lalu lintas.

Gambar fail, Ketua Srikandi BERSATU, Datuk Seri Rina Mohd Harun. - Foto Muhd Zaaba Zakeria
Berita Harian X