Rabu, 13 Februari 2019 | 8:19pm
PENGERUSI Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun. - NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor

PRK DUN Semenyih: SPR hantar kad pengundi

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melaksanakan inisiatif menghantar kad pengundi (voter’s card) kepada 54,471 pengundi berdaftar di Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih yang bakal mengundi pada pilihan raya kecil (PRK) kawasan itu, 2 Mac depan.

Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun, dalam satu kenyataan berkata inisiatif baharu itu adalah usaha bagi menggalak dan memudahkan pengundi keluar mengundi pada PRK berkenaan.

Katanya, SPR sudah menghantar kad berkenaan kepada semua 54,471 pengundi meliputi 951 pengundi awal dan 53,520 pengundi biasa pada 31 Januari lalu.

Beliau berkata, kad pengundi berkenaan mengandungi maklumat pengundian, iaitu pusat mengundi, saluran, bilangan dan masa mengundi.

Katanya, pengundi yang menerima kad itu tidak perlu lagi membuat semakan di barung SPR untuk menyemak saluran dan nombor bilangan pengundi dalam daftar pemilih kerana kedua-dua maklumat terbabit sudah dinyatakan dalam kad berkenaan.

“Bagaimanapun, SPR menegaskan bahawa pengundi tetap perlu membawa kad pengenalan bagi pengesahan identiti untuk mengundi,” katanya.

Hari mengundi awal bagi PRK DUN Semenyih ialah pada 26 Februari ini.

Azhar berkata, mana-mana pengundi yang tidak menerima kad berkenaan kerana mungkin sudah berpindah, boleh membuat semakan maklumat pengundian, iaitu pusat mengundi, saluran, bilangan dan masa mengundi, melalui portal SPR pengundi.spr.gov.my atau aplikasi MySPR Semak atau melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) SPR SEMAK Nombor Kad Pengenalan ke nombor 15888 atau menghubungi talian hotline SPR di talian 03-8892 7018. – BERNAMA

537 dibaca
Berita Harian X