Jumaat, 15 Februari 2019 | 5:34pm
AZHAR Azizan bercakap kepada wartawan selepas meninjau persiapan Pusat Penamaan Calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) N24 Semenyih di Dewan Seri Cempaka. - Foto Asyraf Hamzah

Elak langgar peraturan, etika pilihanraya - SPR

KUALA LUMPUR : Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengingatkan semua pihak yang terbabit dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, supaya sentiasa mematuhi undang-undang, peraturan dan etika pilihan raya.

Pengerusinya, Azhar Azizan Harun, berkata seruan itu juga ditujukan kepada setiap calon atau parti politik yang bertanding.

“SPR menyeru setiap calon atau parti politik yang bertanding tidak melaksanakan kegiatan kempen seperti jamuan, pemberian hadiah dan barangan, penggunaan kemudahan dan aset kerajaan, program kerajaan selain kempen berunsur perkauman serta menyentuh sensitiviti agama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, peraturan itu mesti dipatuhi sepanjang tempoh rasmi kempen PRK selama 14 hari yang bermula selepas penamaan calon esok, sehingga jam 11.59 malam, 1 Mac depan.

“Kesemua parti adalah dilarang untuk membuka, membina atau menyelenggara pejabat dan barung semasa hari mengundi,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya mana-mana pihak mendapati semasa tempoh rasmi kempen, wujud pelanggaran undang-undang dan peraturan khususnya yang berkaitan amalan rasuah di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya atau Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), SPR menyarankan supaya laporan atau aduan dikemukakan kepada pihak SPRM.

“Manakala bagi kesalahan-kesalahan lain di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya atau di bawah Kanun Keseksaan, hendaklah dilaporkan kepada polis.

“Lain-lain kesalahan, sekiranya berlaku, hendaklah dilaporkan kepada mana-mana pihak berkuasa yang berkaitan bagi membolehkan tindakan selanjutnya dapat diambil,” katanya.

SPR juga mengingatkan bahawa pada hari mengundi, semua bentuk kempen atau kegiatan merayu undi adalah dilarang termasuk melalui saluran media sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram dan lain-lain.

“SPR berharap semua pihak mematuhi undang-undang, peraturan dan etika kempen pilihan raya di PRK berkenaan bagi memastikan kelancaran proses pilihan raya serta tidak menggugat ketenteraman awam,” katanya.

Berita Harian X