Jumaat, 22 Februari 2019 | 9:41pm
Darell (tengah) bersama Amirudin (kanan) serta EXCO Negeri Selangor, Datuk Teng Chang Khim pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja MITI ke Selangor, di Shah Alam, hari ini. - NSTP/Nurul Syazana Rose Razman

'Mereka yang mengkritik akhirnya akur'

SHAH ALAM: Tindakan beberapa bekas ahli UMNO di Sabah menyerahkan borang keahlian untuk menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), disifatkan sebagai ‘akur’ dengan kepemimpinan Pakatan Harapan (PH) kini.

Timbalan Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Darell Leiking, berkata penyertaan individu terbabit menunjukkan kemampuan PH diperakui meskipun sebelum ini sering dikritik dan dihina.

“Secara peribadi, mereka ada kelemahan dan kita faham orang yang lemah ini terpaksa mencari peluang.

“Pada awalnya, mereka mengutuk kami dengan mengatakan WARISAN ialah proksi BERSATU atau Tun Dr Mahathir Mohamad. Namun sekarang, secara tiba-tiba mereka yang menuduh itu ingin menyertai kami (PH).

“Jadi, mereka yang mengkritik itu akhirnya akur kepada kami,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) ke Selangor, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari.

Darell yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, pihaknya mengalu-alukan penyertaan ke dalam BERSATU, namun pada masa sama individu terbabit perlu menerima kepemimpinan PH.

Media baru-baru ini melaporkan pengumuman Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga Pengerusi BERSATU, mengenai keputusan parti itu untuk mengembangkan sayap ke Sabah.

Bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Hajiji Noor, pula dilapor memaklumkan lima Ahli Parlimen dan lapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri itu yang keluar UMNO pada akhir tahun lalu, sudah menyerahkan borang keahlian untuk menyertai BERSATU.

2850 dibaca
Berita Harian X