Sabtu, 23 Februari 2019 | 3:04pm

SPR nasihat pengundi buat semakan awal

HULU LANGAT: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meminta pengundi yang sudah menerima kad pengundi atau sudah mengetahui maklumat daftar pemilih, tidak lagi perlu membuat semakan dibarung semakan SPR pada hari pengundian, Sabtu ini.

Sebaliknya, Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun, berkata mereka boleh terus ke saluran mengundi.

Beliau berkata, sementara bagi pengundi yang baharu membuat semakan, mereka disaran untuk mencatat dan menyimpan maklumat seperti pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan pemilih.


PENGERUSI Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun. - NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor

“Pengundi juga diingatkan supaya membawa kad pengenalan dan kad pengundi atau catatan maklumat pengundian serta menunjukkannya kepada Kerani Pengundian Pertama (KP1) di saluran.

“Kad pengundi dan catatan daftar pemilih itu akan memudahkan KP1 untuk membuat semakan nama pengundi serta membantu kelancaran proses pengundian pada hari mengundi,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, pengundi di Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Semenyih yang tidak menerima kad pengundi diminta membuat semakan maklumat daftar pemilih lebih awal sebelum hari pengundian terutamanya nombor bilangan pemilih.

“Pengundi terbabit boleh membuat semakan melalui saluran-saluran seperti melayari portal rasmi SPR di pengundi.spr.gov.my; telefon ke talian 03-88927018; menyemaknya melalui aplikasi MySPR Semak atau boleh menghantar SMS ke 15888,” katanya.

134 dibaca
Berita Harian X