Isnin, 25 Februari 2019 | 12:00pm
PENGERUSI Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

PRK Semenyih: 2 pusat undi awal dibuka esok

SEMENYIH: Dua pusat pengundian awal akan dibuka esok bagi membolehkan 858 pengundi awal Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih menunaikan tanggungjawab mereka.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun, berkata 761 anggota Polis Pasukan Gerakan Am (PGA) dan pasangan akan mengundi di Pusat Mengundi di Dewan Serbaguna Batallion 4 PGA Semenyih.

Sementara itu, tambah beliau, 97 anggota keselamatan lagi mengundi di Discress Room, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang.

“Sebahagian lagi iaitu 93 orang pengundi awal yang terdiri daripada anggota polis PGA sudah mengundi secara pos,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Keseluruhan 951 orang pengundi awal dan pos berada di DUN Semenyih, majoritinya adalah anggota keselamatan.

Azhar berkata, pusat pengundian awal dibuka mulai jam 8 pagi hingga 5 petang, namun bagi pusat mengundi di Discress Room, IPD Kajang waktu pengundian ditutup jam 2 petang.

“Proses pengundian awal itu akan disaksikan oleh setiap ejen calon yang bertanding. Di samping itu, pemerhati pilihan raya daripada wakil organisasi serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dilantik oleh SPR juga akan menyaksikan proses berkenaan,” katanya.

Selain itu, Azhar berkata SPR juga menyiarkan proses pengundian awal secara langsung menerusi Facebook Live .

“Kertas-kertas undi awal itu tidak akan dikira di tempat mengundi esok, sebaliknya peti-peti undi awal akan disimpan di tempat yang selamat iaitu di lokap-lokap balai polis,” katanya.

Beliau berkata, pada Sabtu ini iaitu hari mengundi biasa, peti-peti undi awal akan dibawa ke pusat pengiraan undi berkelompok yang ditetapkan SPR untuk pengiraan dengan disaksikan oleh ejen-ejen calon masing-masing.

“Pemerhati pilihan raya yang dilantik juga akan dibenarkan untuk memerhati proses pengiraan itu,” katanya.

Berita Harian X