Rabu, 27 Februari 2019 | 2:15pm
PEMANGKU Pesuruhjaya PAS negeri, Rafiei Mustapha (dua dark kanan) membuat laporan polis berhubung penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban, hari ini. - Foto Adzlan Sidek

PAS tidak bertanding PRK Rantau

SEREMBAN: PAS Negeri Sembilan sedia memberi laluan kepada Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.

Pemangku Pesuruhjaya PAS negeri, Rafiei Mustapha, berkata parti itu akan memberi sokongan penuh kepada bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau itu dengan membantu Barisan Nasional (BN).

“PAS tidak akan bertanding di Rantau dan akan membantu Tok Mat (Mohamad) atas dasar perpaduan ummah dan Melayu,” katanya selepas membuat laporan polis berhubung penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban, di sini, hari ini.

Rafiei berkata, pihaknya kini bergerak ke arah menjalinkan kerjasama baik antara PAS dan UMNO menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang direstui pucuk pimpinan.

“Di peringkat Negeri Sembilan, kita sudah mengadakan secara bersama dua program iaitu ceramah perdana di Felda Lui Barat, Jempol, bulan lalu serta jamuan makan malam PAS Seremban dan pimpinan UMNO di daerah ini, kelmarin,” katanya.

Beliau berkata, menjelang PRK Rantau pihaknya akan menggerakkan Dewan Ulama, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat bagi membantu BN.

Ditanya sama ada dua parti itu akan membentuk gabungan melalui perjanjian rasmi katanya, ia dalam perbincangan di peringkat tertinggi.

Sementara itu, berkenaan PRK Semenyih, Rafiei berkata, pihaknya turut membantu calon BN melalui kehadiran Dewan Muslimat selain beberapa kumpulan lain akan turun ke lokasi menjelang kempen terakhir.

2415 dibaca
Berita Harian X