Jumaat, 1 March 2019 | 12:58am
Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man. - Foto Zulfadhli Zulkifli

Anwar, jangan terus fitnah PAS - Tuan Ibrahim

HULU LANGAT: Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim diingatkan supaya tidak terus memfitnah PAS dengan mendakwa parti itu membayar RM1.4 juta kepada Pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata Anwar tidak sepatutnya berbuat demikian kerana bekas Timbalan Perdana Menteri itu pernah menderita kerana fitnah.

“Penghakiman yang rasmi (penyelesaian luar mahkamah antara Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Rewcastle-Brown) tanpa sebarang kos bagi kedua-dua pihak.

“Ada pula yang kata jumpa dokumen transaksi. Cukuplah, Anwar. Beliau pernah menderita kerana fitnah dan rasa bagaimana suasana difitnah.

“Saya fikir cukuplah, jangan ulang benda yang sama kepada Presiden PAS,” katanya ketika berucap pada Ceramah Perdana anjuran UMNO dan PAS di Bandar Seri Putra dekat sini, malam tadi.

Turut hadir, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Kelmarin, Anwar mendakwa memiliki dokumen transaksi bank yang membuktikan PAS membayar RM1.4 juta kepada Rewcastle-Brown, namun beliau masih belum mendedahkan dokumen berkenaan.

Ketika sidang media, Tuan Ibrahim yang ditanya mengenai dakwaan Anwar memiliki bukti transaksi itu, berkata Ahli Parlimen Port Dickson itu perlu menunjukkan bukti berkenaan.

“Bukan tanggungjawab kita untuk buktikan (dakwaan Anwar). Dialah yang perlu buktikan. Bagi PAS, isu itu sudah selesai, dokumen rasminya adalah tak ada sebarang (bayaran),” katanya.

Pada 1 Februari lalu, Abdul Hadi membuat penyelesaian di luar mahkamah dengan menarik balik tuntutan terhadap Rewcastle-Brown, dalam kes saman fitnah terhadapnya berhubung dakwaan penerimaan RM90 juta daripada UMNO.

Berdasarkan Perintah Persetujuan yang direkodkan di hadapan Master Brown di Mahkamah Tinggi London, kedua-dua pihak bersetuju tidak meneruskan tuntutan dan tuntutan balas masing-masing, selain mahkamah tidak membuat sebarang perintah mengenai kos kepada mana-mana pihak.

Berita Harian X