Sabtu, 2 March 2019 | 11:29am
PENGERUSI SPR, Azhar Azizan Harun meninjau proses pengundian di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Seri Putra, hari ini. - Foto ihsan Twitter Azhar Azizan Harun

SPR gesa aktiviti merayu undi dihentikan

HULU LANGAT: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menggesa semua aktiviti merayu undi di sekitar pusat pengundian hari ini dihentikan kerana ia satu kesalahan mengikut Akta Kesalahn Pilihanraya 1954.

Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun, berkata petugasnya mengesan masih wujud kegiatan itu dilakukan penyokong parti yang bertanding sejak pusat pengundian dibuka jam 8 pagi tadi.

Katanya, SPR akan mengutip semua laporan berkaitan perlakuan itu dan akan mengambil tindakan selanjutnya selepas tamat Pilihan Raya Kecil (PRK) ini.

"Banyak laporan kita terima mengenai barong panas di mana kemudahan itu sudah disalah guna. Kita ada pasukan penguat kuasa yang sedaya upaya menasihati mereka untuk hentikan.

"Barong panas memang tidak boleh ada pun, tidak boleh ada aktiviti merayu undi. Kalau dia tidak berkempen, tidak ada masalah. Tapi kalau dia secara aktif mengatakan sokongan kepada sipulan, itu aktiviti meraih undi, sepatutnya sudah dihentikan jam 12 malam tadi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas meninjau pusat pengundian di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Rinching, di sini hari ini.

Sejak awal pagi tadi lagi, ramai penyokong parti daripada Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (BN) memenuhi pekarangan pusat pengundian, berdiri di tepi-tepi jalan sambil mengibarkan bendera parti dan menyeru pengundi menyokong calon mereka.

Azhar berkata, SPR tiada kuasa untuk melarang mana-mana pihak membawa bendera masing-masing dalam kawasan 50 meter dari tempat pengundian, namun ia menjadi satu kesalahan apabila wujud kelakuan berkempen.

"Kalau ada kelakuan yang aktif dan positif, pakai baju sambil bersorak ia satu bentuk kempen atau membuat bunyian bising juga boleh jadi mengganggu ketenteraman.

"Kita ada penguat kuasa. Kita akan larang mereka berbuat demikian, tapi berhenti sekejap selepas itu mereka bising lagi. Kita hanya ada empat pasukan yang terpaksa meninjau ke 24 Pusat Daerah Mengundi. Kita cuba lakukan yang terbaik," katanya.

Beliau berkata, tidak menjadi kesalahan jika pondok atau khemah khas dibuka di kawasan 50 meter dari pusat pengundian, untuk digunakan sebagai tempat rehat, namun ia mesti bebas dengan sebarang aktiviti berkempen.

Ditanya ada calon menggunakan media untuk menyeru pengundi menyokongnya pada hari mengundi pagi ini, beliau berkata ia juga satu kesalahan dalam undang-undang pilihan raya.

Azhar juga menasihatkan media mengelakkan membuat laporan yang cenderung kepada menyeru pengundi untuk menyokong calon tertentu hari ini memandangkan ia juga boleh ditafsirkan dalam undang-undang sebagai membantu membuat kesalahan dalam pilihan raya.

Ditanya perjalanan pengundian setakat tengahari ini, beliau berkata sacara keseluruhannya berjalan lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini.

"Saya harap 70 peratus keluar mengundi dapat dicapai sebab di PRK Cameron Highlands pun kita hanya dapat 68 peratus saja.

"Keputusan rasmi kita jangka sebelum jam 10 malam atau mungkin lebih awal sikit," katanya.

Berita Harian X