Selasa, 5 March 2019 | 7:40pm

UMNO, PAS tidak bersatu

KUALA LUMPUR: Mesyuarat jawatankuasa induk UMNO dan PAS hari ini memutuskan kedua-dua parti tidak akan bersatu sebagai sebuah parti.

Sebaliknya, kedua-dua parti hanya bersetuju untuk bekerjasama sebagai pembangkang yang akan antara lain agendanya adalah menumpukan kerjasama bagi menghadapi pilihan raya kecil (PRK) yang akan datang.

Serentak itu, kedua-dua parti bersetuju untuk menubuhkan jawatankuasa khas teknikal yang akan dipengerusikan bersama oleh naib presiden parti masing-masing untuk membincangkan bentuk kerjasama yang akan dipersetujui.

Timbalan Presiden UMNO yang menjalankan tugas Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata kerjasama yang terbentuk ini juga ke arah penyatuan ummah tanpa meminggirkan kaum lain di negara ini.

“Ini bukan penyatuan dua parti, tapi kerjasama UMNO dan PAS atas isu yang ada asas pada setiap parti.

“Kita tidak akan ada simbol baharu. Ini gerakan kerjasama dua parti untuk terjemah agenda penyatuan ummah tanpa meminggirkan kaum lain.

“Antara kerjasama yang akan diberi tumpuan ialah gerak kerja bersama untuk menghadapi PRK akan datang, yang segera ini di Rantau, tempat saya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat itu yang dihadiri pucuk kepemimpinan tertinggi kedua-dua parti di Ibu Pejabat UMNO di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Setiausaha Agung, Tan Sri Annuar Musa; Ketua Penerangan, Datuk Shamsul Anuar Nasarah; Ketua Pemuda, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua Wanita, Datuk Noraini Ahmad.

Pihak PAS pula dihadiri Timbalan Presiden, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man; Naib Presiden, Idris Ahmad; Setiausaha Agung, Datuk Takiyuddin Hassan; Ketua Dewan Ulama, Datuk Dr Mahfodz Mohamad; Ketua Dewan Pemuda, Muhammad Khalil Abdul Hadi dan Ketua Dewan Muslimat,Nuridah Salleh.

Agenda lain yang akan digerakkan secara bersama UMNO dan PAS ialah untuk memantapkan kerjasama di peringkat Parlimen dalam satu kaukus pembangkang.

Kedua-dua parti memberi tempoh kepada jawatankuasa kerja khas teknikal selama sebulan setengah berkuat kuasa serta merta untuk membentangkan hasil kajian mereka kepada jawatankuasa induk UMNO dan PAS.

Mohamad turut berkata, hasil perbincangan yang diadakan hari ini akan dibawa untuk dibincang di peringkat tertinggi parti komponen parti masing-masing.

“UMNO akan membawa hasil perbincangan ini dalam mesyuarat dewan tertinggi Barisan Nasional (BN) bersama MCA dan MIC pada Jumaat ini.

“Saya nak kata, kerjasama ini tidak akan meminggirkan mana-mana pihak. Tidak ada alasan untuk MCA dan MIC serta rakan lain untuk tidak beri sokongan. Ia menjadi gagasan penyatuan ummah.

“Namun buat masa ini, perbincangan kerjasama ini hanya berlaku di antara UMNO dan PAS saja,” katanya.

Sementara itu, Tuan Ibrahim berkata, PAS hadir mesyuarat ini selepas mendapat mandat daripada Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk mencari titik pertemuan yang mempunyai persamaan di antara kedua-parti.

Mohamad bersalaman dengan Tuan Ibrahim pada sidang media selepas mesyuarat jawatankuasa perunding antara PAS-UMNO di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. - NSTP/Asyraf Hamzah
Berita Harian X