Isnin, 25 March 2019 | 12:44am
ABDUL HADI (kanan) beramah mesra bersama Mohamad Hasan pada majlis Makan Malam bersama Presiden PAS di Kompleks PAS Negeri Sembilan, Seremban. - Foto Iqmal Haqim Rosman.

UMNO-PAS bentang gerak kerja bulan hadapan

SEREMBAN: UMNO dan PAS dijangka membentangkan satu gerak kerja yang akan digunakan sepanjang kerjasama dua parti itu bulan hadapan.

Timbalan Presiden yang menjalankan tugas Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata ketika ini jawatankuasa perunding peringkat tertinggi yang diketuai setiap Naib Presiden parti, masih menjalankan mesyuarat yang sudah bermula sejak awal bulan ini.

“Gerak kerja ini penting kerana perlu ada landasan konkrit dan formula supaya usaha penyatuan ummah ini tidak tersasar serta bersedia menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Makan Malam Bersama Presiden PAS di Kompleks PAS Negeri Sembilan di sini, hari ini.

Turut hadir, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Pemangku Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Rafiei Mustapha.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata jika kedua-dua parti setuju dengan gerak kerja itu, jawatankuasa peringkat negeri dan bahagian akan ditubuhkan.

Malah katanya, ada negeri sudah mula mewujudkan jawatankuasa sendiri bagi memudahkan kerja.

“Agenda ini adalah satu ombak tsunami bagi semua orang yang dahagakan penyatuan antara Islam dan Melayu.

“Tetapi yang bukan Melayu tidak perlu risau kerana tujuan gerak kerja ini bukan untuk bergaduh tetapi bertujuan untuk menjadikan negara aman,” katanya.

2010 dibaca
Berita Harian X