Jumaat, 5 April 2019 | 2:56am

Laungan reformasi hidupkan malam di Rantau

SEREMBAN: Kira-kira 5,000 penyokong dan ahli PKR membanjiri Dataran Rantau dan sekitarnya, di sini bagi menghadiri Sambutan Dua Dekad Merakyatkan Reformasi parti itu malam tadi.

Acara yang bermula seawal jam 9 malam ternyata mencipta sejarahnya tersendiri kerana ia diadakan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau yang kini sedang melalui proses Pilihan Raya Kecil (PRK).

Laungan reformasi acap kali kedengaran berulang kali sejak acara sambutan bermula dan ia terus bergema sebaik pimpinan tertinggi PKR tiba termasuk Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Program yang tidak mengenakan sebarang protokol ketat itu dimulakan dengan beberapa persembahan video, deklamasi sajak kemudiannya diteruskan dengan majlis ucapan pimpinan.

Antara pimpinan PKR yang menyampaikan ucapan termasuk Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution, Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamad Azmin Ali diikuti Presiden Pakatan Harapan, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Turut diundang berucap, Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang mewakili DAP serta Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Negeri Sembilan, Tan Sri Dr Rais Yatim.

Dr Wan Azizah bersama Anwar melaungkan perkataan Reformasi pada sambutan Ulang Tahun Dua Dekad Merakyatkan Reformasi di Dataran Rantau. - Foto BERNAMA
Dr Wan Azizah bersama Anwar melaungkan perkataan Reformasi pada sambutan Ulang Tahun Dua Dekad Merakyatkan Reformasi di Dataran Rantau. - Foto BERNAMA

Anwar berucap pada Majlis Sambutan 20 Tahun Keadilan di Rantau. Sambutan bertemakan 'Dua Dekad Merakyatkan Reformasi' dihadiri ribuan hadirin terdiri daripada anggota parti dan penduduk sekitar. - Foto BERNAMA

Dr Wan Azizah bersama Anwar memotong kek pada sambutan Ulang Tahun Dua Dekad Merakyatkan Reformasi di Dataran Rantau. - Foto BERNAMA
Dr Wan Azizah bersama Anwar memotong kek pada sambutan Ulang Tahun Dua Dekad Merakyatkan Reformasi di Dataran Rantau. - Foto BERNAMA

Kemuncak ucapan adalah Anwar yang mengambil pentas selama lebih 30 minit untuk menyampaikan amanat khasnya, yang sarat dengan mesej reformasi dan hala tuju PKR dan Pakatan Harapan dalam membawa negara ke gerbang kejayaan.

Anwar sejak Sabtu lalu lagi sudah berulang kali turun ke DUN Rantau bagi membantu kempen calonnya, Dr S Streram dalam misi merampas kawasan itu dari cengkaman Barisan Nasional (BN) yang diwakili bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Moral kemenangan kepada PKR ditanam sejak hari pertama berkempen lagi untuk seboleh-bolehnya merampas kerusi itu dari Mohamad, yang kini Timbalan Presiden BN dan menjadi pemangku kepada Presiden UMNO.

PRK DUN Rantau yang diadakan selepas mahkamah membatalkan keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) lalu menyaksikan pertembungan empat penjuru antara calon Pakatan Harapan, BN dan dua calon Bebas.

Anwar berucap pada Majlis Sambutan 20 Tahun Keadilan di Rantau. - Foto BERNAMA
Anwar berucap pada Majlis Sambutan 20 Tahun Keadilan di Rantau. - Foto BERNAMA
Berita Harian X