Sabtu, 20 April 2019 | 8:39pm
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap ketika program Town Hall Anak Muda di Johor Bahru. - Foto Hairul Anuar Rahim

Anwar nafi PKR ketandusan pemimpin muda

JOHOR BAHRU: Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menafikan parti itu berdepan masalah ketandusan pemimpin muda untuk mewarisi kepemimpinan sedia ada ketika ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Port Dickson, menegaskan PKR memiliki ramai pemimpin muda dan fokus utama yang harus diberikan adalah segera meningkatkan kefahaman, kursus dan latihan kepada kumpulan pemimpin muda dalam parti.

“Soalannya ialah kekurangan ketandusan pimpinan muda, saya kurang setuju sebab tadi (Sesi Town Hall Anak Muda) saya lihat (pemimpin) di ranting dan cabang ada anak muda.

“Cuma cadangan kalau untuk meningkatkan kefahaman, kursus dan latihan itu harus disegerakan bukan saja kepada kalangan muda, tetapi juga ahli baharu parti yang ramai dan patut diberikan pendedahan mengenai sejarah perjuangan parti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Sesi Town Hall Anak Muda di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua AMK yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd Nasir dan barisan kepemimpinan PKR Johor.

Pada sidang media itu, Anwar turut menzahirkan harapan agar kerjasama dalam Pakatan Harapan (PH) terutama di Johor dapat diteruskan.

“PKR ucap tahniah kepada Dr Sahruddin Jamal, Menteri Besar yang baharu dan harap supaya kerjasama dalam pakatan, perbincangan dan usaha memantapkan lagi kerajaan

diteruskan.

“Saya nak beritahu kepada pimpinan Johor memberikan sokongan padu supaya dapat kita memperkuatkan kerajaan negeri terutama (dalam melaksanakan) program yang kita sebut merakyatkan ekonomi,” katanya.

639 dibaca
Berita Harian X