Rabu, 24 April 2019 | 6:30pm
AZHAR Azizan Harun

PRK Sandakan: SPR hantar kad pengundi kepada 39,349 pengundi berdaftar

SANDAKAN: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengambil inisiatif menghantar kad pengundi kepada 39,349 orang pengundi yang meliputi 270 orang pengundi awal dan 39,079 orang pengundi biasa.

Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun, berkata usaha itu bertujuan menggalak serta memudahkan pengundi untuk keluar mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen P.186 Sandakan.

Beliau menjelaskan, kad pengundi itu mengandungi maklumat pengundian iaitu pusat mengundi, saluran, bilangan, tarikh dan masa mengundi, yang akan memudahkan pengundi keluar mengundi pada hari mengundi awal iaitu 7 Mei dan hari mengundi biasa pada 11 Mei depan.

“Pengundi yang sudah menerima kad pengundi tidak lagi perlu membuat semakan di Barung SPR untuk menyemak saluran dan nombor bilangan pengundi dalam daftar pemilih kerana kedua-dua maklumat berkaitan dinyatakan dalam kad tersebut.

“SPR sudah mengedarkan kad pengundi mulai 19 April lalu kepada semua pengundi bagi PRK Parlimen P.186 Sandakan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Azhar berkata SPR menegaskan bahawa pengundi masih perlu membawa kad pengenalan bagi pengesahan identiti untuk mengundi dan diingatkan supaya membawa kad pengundi atau catatan maklumat daftar pemilih pada hari mengundi bagi memudahkan semakan.

Katanya lagi, mana-mana pengundi yang tidak menerima kad pengundi berkenaan boleh membuat semakan maklumat pengundian iaitu pusat mengundi, saluran dan nombor bilangan di portal SPR www.spr.gov.my atau aplikasi MySPR Semak.

Beliau berkata pengundi juga boleh menyemak melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) (SPR SEMAK NOMBOR KAD PENGENALAN) dan hantar ke nombor 15888 atau menghubungi talian hotline SPR di 03-8892 7018. - BERNAMA

Berita Harian X