Rabu, 29 Mei 2019 | 5:33pm
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (kanan) ketika sidang media di Menara Dato Onn, Kuala Lumpur. - NSTP/Syarafiq Abd Samad

Penubuhan PUTRA: UMNO senada dengan Dr Mahathir

KUALA LUMPUR: UMNO senada dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyifatkan penubuhan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) hanya akan memecahbelahkan lagi perpaduan orang Melayu di negara ini.

Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas Timbalan Presiden, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata penubuhan PUTRA itu bagaimanapun tidak boleh dihalang kerana Malaysia mengamalkan kebebasan dan demokrasi dalam politik.

“Kita tidak boleh untuk tidak bersetuju dengan sesiapa yang mahu tubuhkan parti baharu. Saya difahamkan akan lagi parti baharu akan ditubuhkan.

“Malaysia adalah negara demokrasi dan sesiapa saja berhak wujudkan pertubuhan dan parti. Tapi lebih banyak parti, Melayu lebih berpecah,” katanya kepada pemberita selepas sidang media bersama PAS di Ibu Pejabat UMNO di sini, hari ini.

Sidang media itu dihadiri Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Mahdzir Khalid; Ketua Wanita UMNO, Datuk Dr Noraini Ahmad dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan.

Semalam, Dr Mahathir menyifatkan penubuhan lebih banyak parti berasaskan kaum, terutama Melayu hanya akan memecahbelahkan lagi perpaduan dalam kaum berkenaan di negara ini.

Beliau berkata penambahan dan penubuhan parti Melayu yang baharu di negara ini akan menyebabkan orang Melayu tidak mempunyai satu parti yang besar untuk mewakili mereka.

Ismail Sabri yang juga Ketua Pembangkang bagaimanapun menolak penubuhan PUTRA akan menjejaskan usaha parti itu membina semula kekuatan menarik sokongan Melayu dengan menjalin kerjasama dengan PAS

“Sama ada kewujudan PUTRA akan menjejaskan UMNO, saya tidak tahu. Kalau ia dapat sokongan besar tentu beri kesan tetapi kalau macam dulu banyak parti kecil, tidak akan beri kesan.

“Orang Melayu mungkin tidak berapa gembira kerana ketika kita berusaha ke arah penyatuan Melayu dengan bekerjasama dengan PAS, tiba-tiba ada parti baharu pula,” katanya

Sementara itu, Takiyuddin berkata, PUTRA wajar menyertai kerjasama UMNO dan PAS jika mahu membela kepentingan orang Melayu.

“Jika penubuhan PUTRA adalah untuk bela orang Melayu, ada baiknya parti itu menyertai kerjasama UMNO dan PAS.

“Presidennya (Datuk Dr Ibrahim Ali) pernah jadi ahli UMNO dan juga menjadi wakil rakyat PAS. Mungkin lebih baik sertai kerjasama PAS dan UMNO” katanya.

2439 dibaca
Berita Harian X