Ahad, 9 Jun 2019 | 3:44pm
SETIAUSAHA PAS Pusat, Datuk Takiyuddin Hassan (kanan) bercakap pada sidang akhbar Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-65 di Hotel Seri Manja, Indera Mahkota. NSTP/ Muhd Asyraf Sawal.

Abdul Hadi, Tuan Ibrahim kekal Presiden, Timbalan Presiden PAS

KUANTAN: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, dan Timbalannya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, mengekalkan jawatan masing-masing selepas pencalonan bagi pemilihan parti itu ditutup kira-kira tiga minggu lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PAS Pusat, Dr Mohd Fuad Mohd Salleh, berkata bagi jawatan naib presiden pula menyaksikan empat calon menawarkan diri bagi merebut tiga jawatan berkenaan.

“Bagi jawatan naib presiden, empat nama melepasi syarat untuk bertanding iaitu tiga penyandang sebelum ini, Idris Ahmad, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dan Datuk Iskandar Abdul Samad dengan seorang lagi calon ialah Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

“Selain itu, seramai 29 calon layak bertanding bagi 18 jawatan dalam ahli jawatankuasa (AJK) PAS Pusat, mereka ini sudah melepas tapisan dibuat dan calon juga diberi masa hingga Rabu ini bagi membuat keputusan untuk meneruskan (pertandingan) atau menarik diri,” katanya dalam sidang media Muktamar Tahunan PAS Ke-65 di sini, hari ini.

Turut hadir Setiausaha PAS Pusat, Datuk Takiyuddin Hassan, Pesuruhjaya PAS Pahang, Rosli Abdul Jabar dan Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri, Andansura Rabu.

Sementara itu, Takiyuddin berkata semua usul yang akan dibahaskan pada Muktamar kali ini akan dibentangkan untuk penilaian PAS Pusat pada Jumaat ini.

“Kita akan nilai dan perhalusi terlebih dahulu setiap usul yang ingin dibawa oleh perwakilan... mesyuarat khas pada 14 Jun ini di Ibu Pejabat PAS di ibu negara akan memutuskan (usul) mana yang akan diterima untuk dibahaskan sebelum perasmian muktamar oleh Presiden kita pada pagi 21 Jun ini.

“Bagi Muktamar kali ini, Dewan Muslimat PAS akan bersidang pada 15 Jun di Pusat Konvensyen Bukit Gambang, diikuti Dewan Pemuda pada 19 dan 20 Jun. Kedua-duanya ada pemilihan dan dijangka Dewan Pemuda PAS Pusat akan menerima ketua baharu selepas penyandang jawatan itu (Muhammad Khalil Abdul Hadi) tidak bertanding.

“Selain itu, Datuk Seri Abdul Hadi juga akan merasmikan konvensyen Dewan Himpunan Penyokong PAS yang dijangka dihadiri kira-kira 300 ahli pada 21 Jun,” katanya.

Beliau berkata, seramai 1,200 perwakilan akan mengambil bahagian pada muktamar kali ini, selain pemerhati dari Kelab Penyokong PAS luar negara dan pemimpin UMNO.

“Kita menjemput beberapa pemimpin UMNO dan antara yang sudah menyatakan persetujuan untuk hadir ialah Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man,” katanya.

1567 dibaca
Berita Harian X