Rabu, 12 Jun 2019 | 2:17pm
AHMAD Samsuri (kanan) bertanyakan sesuatu kepada salah seorang pelajar pasukan inovasi ketika melawat pameran pada majlis Meraikan Kejayaan Pasukan Inovasi Panji Innovation Laboratory (Pi Lab) SMK Panji Alam dalam Pertandingan EUROINVENT 2019, Romania di Dewan Jubli Emas SMK Panji Alam. - Foto Rozainah Zakaria

Terima pencalonan kerana hormati akar umbi - Ahmad Samsuri

KUALA TERENGGANU: Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar tidak akan menarik diri daripada bertanding bagi jawatan Naib Presiden PAS sebagai menghormati pencalonan dibuat di peringkat akar umbi.

Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat itu, berkata walaupun berat hati untuk bertanding jawatan berkenaan kerana terlalu menghormati tiga penyandang yang dianggap sebagai abang dan insan hebat, beliau menerima pencalonan atas dasar menyuburkan ruang demokrasi dalam parti.

Walaupun jawatan Menteri Besar dilihat mempunyai kelebihan sebagai antara faktor kemenangan pada pemilihan parti yang akan diadakan sempena Muktamar Tahunan Pas Ke-65 di Kuantan, 21 hingga 23 Jun ini, beliau menganggap dirinya sebagai calon ‘underdog’.

“Pemilihan PAS adalah urusan dalaman keluarga yang berlangsung dua tahun sekali dan ia berjalan dalam suasana harmoni.

“Jadi saya terima pencalonan daripada kawasan untuk bertanding sebagai Naib Presiden PAS walaupun hati saya berat kerana mengenangkan penyandang ketika ini adalah mereka yang saya kategori sebagai insan hebat dan sudah menjalankan tanggungjawab dengan cemerlang.

“Mereka juga abang-abang saya yang sudah memberi banyak tunjuk ajar kepada saya. Saya terima pencalonan itu dengan hati yang berat dan masih menganggap diri sebagai calon ‘underdog’.

“Apapun keputusan, saya serahkan kepada seluruh perwakilan dalam parti pada Muktamar Tahunan Pas Ke-65 nanti,” katanya selepas majlis meraikan kejayaan pasukan Panji Innovation Laboratory (PiLab) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Panji Alam di sini, hari ini.

PiLab memenangi empat anugerah utama dalam pertandingan bertaraf antarabangsa, 11th European Exhibition of Creativity and Innovation (EUROINVENT 2019) yang berlangsung di Palace Culture, Romania pada 16 hingga 18 Mei lalu.

Pada pemilihan kali ini, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Timbalannya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mengekalkan jawatan masing-masing apabila menang tanpa bertanding selepas pencalonan bagi pemilihan parti itu ditutup kira-kira tiga minggu lalu.

Bagi jawatan Naib Presiden pula, hanya Ahmad Samsuri calon baharu, manakala tiga lagi calon ialah penyandang iaitu Idris Ahmad, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dan Datuk Iskandar Abdul Samad.

Hari ini adalah hari terakhir untuk mana-mana calon menarik diri daripada pemilihan parti itu.

Sementara itu, Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, beliau mahu melepaskan jawatannya untuk memberi peluang kepada muka baharu menerajui sayap kepimpinan itu.

“Ia bukan isu had umur atau apa, tetapi bagi saya PAS mempunyai banyak pemimpin pelapis yang baik dan kita mahu beri peluang kepada pemimpin baharu ini.

“Saya mahu melihat proses peralihan kepemimpinan itu berlaku dengan baik dan tersusun,” katanya yang dicalonkan bagi merebut jawatan Ahli Jawatankuasa Pusat.

359 dibaca
Berita Harian X