Rabu, 12 Jun 2019 | 6:04pm
Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail. - NSTP/Noor Atiqah Sulaiman

Mesyuarat PKR diawalkan bukan kerana isu terkini - Saifuddin Nasution

PETALING JAYA: Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menafikan mesyuarat Biro Politik PKR diawalkan hari ini ada kaitan dengan isu terkini yang terpalit terhadap seorang pemimpin tertinggi parti berkenaan.

Sebaliknya, mesyuarat mingguan parti diawalkan adalah bagi memenuhi permintaan Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang perlu menghadiri majlis sambutan Hari Raya pada sebelah malam.

Bagaimanapun, Saifuddin yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, berkata isu klip video yang tular di media sosial berkenaan akan dibincangkan dalam mesyuarat yang diadakan petang ini.

“PKR sememangnya ada mesyuarat mingguan Biro Politik pada setiap Rabu namun sepatutnya diadakan pada jam 8 malam.

“Bagaimanapun, minggu lalu Datuk Seri Anwar ada memaklumkan bahawa beliau perlu menghadiri jamuan raya dan meminta mesyuarat hari ini diawalkan.

“Justeru, mesyuarat minggu ini diawalkan, tiada kena mengena dengan isu terkini... ini kerana komitmen presiden,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat PKR, di sini, sebentar tadi.

Menjawab persoalan sama ada Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali akan turut serta mesyuarat hari ini atau tidak, Saifuddin berkata, beliau tiada maklumat berhubung kehadiran pemimpin berkenaan.

“Datuk Seri Azmin Ali adalah timbalan presiden dan ahli Biro Politik PKR tapi saya tiada maklumat sama ada beliau akan hadir atau tak,” katanya.

Berita Harian X