Rabu, 12 Jun 2019 | 9:52pm
Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari berkata keputusan Mahkamah tidak melemahkan gerak kerja kepemimpinan PH di peringkat negeri. - NSTP/Rasul Azli Samad

Keputusan mahkamah tidak jejas khidmat di Parlimen Jasin

MELAKA: Pakatan Harapan (PH) menghormati keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mengekalkan kemenangan calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Jasin pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Ketua Menteri, Adly Zahari, keputusan Mahkamah Tinggi hari ini yang mengekalkan kemenangan Datuk Seri Ahmad Hamzah bagi kerusi Parlimen Jasin itu tidak melemahkan gerak kerja kepemimpinan PH di peringkat negeri.

“Kita hormati keputusan yang sudah dibuat di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur susulan petisyen yang dibangkitkan oleh calon PH, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan bagi kerusi Parlimen Jasin.

“Keputusan ini tidak sesekali melemahkan gerak kerja PH untuk terus berkhidmat kepada masyarakat di peringkat akar umbi, khususnya di Parlimen Jasin. Kita akan terus memberi khidmat kepada masyarakat Jasin dan Melaka,” katanya ketika dihubungi di sini, malam ini.

Mengulas lanjut, Adly berkata, petisyen itu dibuat berdasarkan hak individu di negara demokrasi yang mengharapkan keadilan, seterusnya menyerahkan kepada rakyat untuk membuat penilaian.

Adly yang juga Pengerusi PH Melaka mengulas keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini yang mengekalkan kemenangan Ahmad bagi kerusi Parlimen Jasin pada PRU-14 lalu.

Hakim Datuk Abu Bakar Jais membuat keputusan itu selepas mendapati keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang melayakkan Ahmad menang di parlimen itu sah dan tidak batal serta tidak melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Mahkamah turut memerintahkan Khairuddin selaku pempetisyen supaya membayar kos sebanyak RM200,000 kepada Ahmad selaku responden pertama dan RM200,000 lagi kepada responden kedua dan ketiga iaitu Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Zamrud Yahya dan SPR.

Pada PRU-14, Khairuddin tewas kepada Ahmad dengan perbezaan 219 undi dalam pertandingan tiga penjuru, yang menyaksikan Ahmad mempertahankan kerusi itu selepas menerima 26,560 undi, manakala Khairuddin memperoleh 26,341 undi dan calon PAS, Abd Alim Shapie mendapat 8,860 undi.

Khairuddin memfailkan petisyen pilihan raya itu pada Jun tahun lalu menurut Seksyen 34(C) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Beliau yang memohon perintah perisytiharan keputusan PRU-14 bagi kerusi Parlimen Jasin batal dan tidak sah, mendakwa ahli politik BN itu dipilih secara tidak sah dan pilihan raya baharu perlu diadakan.

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X