Rabu, 12 Jun 2019 | 10:44pm
Ketua Sekretariat Pakatan Harapan (PH), Datuk Saifuddin Abdullah. - NSTP/Asyraf Hamzah

Fitnah berterusan jika tidak henti sebar video

KUANTAN: Gejala fitnah akan berterusan sekiranya penyebaran klip video seks songsang sejak semalam tidak dihentikan segera.

Ketua Sekretariat Pakatan Harapan (PH), Datuk Saifuddin Abdullah, berkata fitnah itu bukan sahaja satu dosa, malah perbuatan terbabit tidak akan memberi keuntungan kepada mana-mana pihak.

“Perkara ini hanya membawa kita kepada fitnah yang tiada henti. Sebaliknya kita harus menumpukan perhatian bagi membangunkan negara dan memberikan khidmat kepada rakyat.

“Sebab itu saya harap perkara ini dihentikan kerana tidak menguntungkan sesiapa,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Ahli Parlimen dan PH Indera Mahkota di sini, malam ini.

Hari ini, individu didakwa bersama lelaki mirip menteri dalam video berkenaan dilaporkan tampil membuat pengakuan bersumpah bahawa beliau terbabit dalam aksi itu.

Mengaku namanya sebagai Haziq Aziz, lelaki itu mendakwa video berkenaan dirakam pada 11 Mei lalu di bilik hotel di Sandakan, Sabah.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang dikaitkan dengan klip video itu bagaimanapun menafikan pembabitannya dan menyifatkan itu sebagai satu tuduhan jahat dan kejam.

Saifuddin yang juga Menteri Luar turut menyifatkan penyebaran klip video itu sebagai amalan politik kotor yang tidak akan membawa negara ini bergerak ke hadapan.

Sebaliknya, kata beliau, tindakan itu akan menyebabkan berlaku salah faham, tuduh menuduh dan fitnah dalam kalangan masyarakat.

“Kita dalam PH berusaha untuk menegakkan amalan politik baharu yang antara lain bermakna politik hikmah dan bukannya politik fitnah,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengalu-alukan pengumuman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia yang kelihatan mengambil tindakan segera dalam isu berkenaan.

Berita Harian X