Khamis, 13 Jun 2019 | 3:35pm
KARIP Mohd Salleh

8 Ketua Cabang PKR nyata sokongan kepada Azmin

JEMPOL: Lapan Ketua Cabang PKR di negeri ini menyokong penuh kepimpinan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali walaupun terpalit dengan isu penyebaran video lucah.

Ketua Cabang PKR Jempol, Karip Mohd Salleh yang turut mewakili tujuh cabang lain berkata, pihaknya menggesa polis melakukan siasatan terhadap kes penularan video itu berdasarkan laporan polis yang sudah dibuat oleh Setiausaha Politik Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Muhammad Hilman Idham.

Karip berkata, fitnah yang dilemparkan pihak tertentu itu dipercayai bertujuan menjatuhkan dan memusnahkan karier politik Azmin yang dilihat berupaya melaksanakan tugas sebagai menteri.

“Sebagai menteri yang menjaga kepentingan ekonomi, sudah pasti ramai yang iri hati apatah lagi melihat usaha dilakukan beliau dalam memulihkan keadaan ekonomi negara,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Karip yang juga Ketua Peneroka Negeri Sembilan turut menggesa polis menjalankan siasatan terhadap lelaki dikenali Haziq Aziz yang membuat pengakuan terbabit di dalam video berkenaan.

Semalam Mohamed Azmin Ali dalam satu kenyataan menafikan pembabitannya dalam video lucah yang tersebar sejak semalam dan menyifatkannya tuduhan jahat serta kejam.

Beliau yakin siri fitnah itu adalah komplot jahat untuk mencemarkan reputasi dan keperibadian serta menjatuhkan dan memusnahkan karier politiknya.

1308 dibaca
Berita Harian X