Sabtu, 15 Jun 2019 | 2:45pm

'PAS mahu baiki kesilapan lalu'

KUANTAN: PAS membuka ruang kerjasama dengan pihak beragama Islam dan bukan Islam sebagai langkah menangani krisis politik dan nilai kefahaman dalam masyarakat semasa.

Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang, berkata konsep bekerjasama dan bersahabat dengan UMNO serta Barisan Nasional (BN) yang pernah menjadi seteru politiknya, cenderung ke arah membuat perubahan politik dalam membaiki kesilapan lalu.

Katanya, kesediaan mendekati MIC dan MCA pula menunjukkan keterbukaan PAS dalam membawa perubahan kepada senario politik kini.

“Pendekatan ini diharap membolehkan rakyat memahami apa yang tersirat dalam politik, bukan saja yang tersurat.

“Kita kini berdepan politik kacau-bilau, termasuk tindakan menyebarkan pelbagai gejala memalukan secara ‘politik video’ tidak bermoral.

“Ini bukan hebat, sebaliknya meruntuhkan diri sendiri. Kita mengamalkan politik berbudaya, bukan yang pelik-pelik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Muktamar Tahunan Dewan Muslimat PAS Malaysia ke-59 di Bukit Gambang Resort City, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Muslimat PAS, Nuridah Mohd Salleh.

Hadi mendakwa, hampir 90 peratus pengundi Islam mengundi Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) dan 30 peratus daripadanya ‘mengkaji’ melalui media sosial sebelum membuat pilihan menukar kerajaan.

Dalam sidang media selepas itu, Hadi berkata, strategi kerjasama antara PAS dengan BN akan berterusan sehingga PRU-15.

Katanya, berkata rundingan kedua-dua parti itu diadakan secara berterusan kerana strategi dirangka untuk jangka panjang.

“Kita sentiasa meningkatkan kerjasama, termasuk menerusi beberapa pilihan raya kecil. PRU-15 masih jauh dan membabitkan aspek pembahagian kawasan, calon dan sebagainya,” katanya.

Mengulas penyebaran video seks di media sosial dikatakan membabitkan seorang menteri, Hadi tidak menolak kemungkinan wujud campur tangan asing dalam perkara itu.

“Isu ini perlu disiasat dengan teliti termasuk oleh pihak berkuasa agama Islam kerana kita bimbang jika ada campur tangan asing,” katanya.

753 dibaca
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berucap pada Muktamar Tahunan Dewan Muslimat PAS Malaysia ke-59 di Bukit Gambang Resort City, hari ini. - NSTP/Farizul Hafiz Awang
Berita Harian X