Sabtu, 15 Jun 2019 | 11:50pm
TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bersama Presiden PKR merangkap Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim (kana) ketika hadir ke Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Port Dickson di perkarangan Kompleks Pentadbiran Daerah Port Dickson, Negeri Sembilan. NSTP/Iqmal Haqim Rosman

Apa alasan kita nak buat kerja itu? - Anwar

PORT DICKSON: Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan dakwaan kononnya beliau terbabit dalam penyebaran video lucah yang dikaitkan dengan seorang menteri baru-baru ini.

Presiden PKR itu berkata, dakwaan kononnya penyebaran video itu didalangi kem beliau dan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli bertujuan memecah belahkan parti adalah tidak berasas.

“Sudah ada fitnah, tak boleh jawab dengan fitnah. Kedua, apa alasan untuk kita buat kerja itu, ada orang kata ancaman, (tapi) ancaman apa?

“Sudah ada perjanjian (peralihan kuasa), PM (Perdana Menteri) sendiri bagi pengakuan secara peribadi, minggu lalu pun PM bagi pengakuan.

“Semua parti bagi dukungan termasuk PKR, DAP, AMANAH (Parti Amanah Negara) dan BERSATU (Parti Pribumi Bersatu Malaysia), jadi tiada masalah bagi saya,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Port Dickson, di sini, malam ini.

Yang turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu; Menteri Pengangkutan, Anthony Loke; Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad dan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Ditanya sekiranya tindakan penyebaran video itu akan memecah belahkan ahli PKR, Anwar menyatakan bahawa ia tidak akan jejaskan perpaduan parti kerana ahli yang waras tidak akan terikut dengan sentimen dan fitnah.

Sementara itu, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson, tidak bersetuju dengan cadangan Otai Reformasi baru-baru ini yang meminta supaya Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memberi penetapan jangka masa untuk penyerahan kuasa kepadanya.

“Saya tidak setuju. Ini urusan PM dengan Pakatan Harapan. Yang lain boleh beri pandangan, tapi saya tidak setuju (dengan cadangan itu),” katanya.

Sementara itu, Dr Wan Azizah turut menolak amalan politik kotor dan menyeru orang ramai untuk lebih menumpu isu pembangunan negara.

“Memang kita tolak gutter politik (politik kotor), sebab saya lalui ini. Saya bersimpati dengan keluarga (Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali) dan kita rakyat Malaysia kena fikirkan lebih mengenai cara nak bangunkan negara,” katanya.

3184 dibaca
Berita Harian X