Ahad, 16 Jun 2019 | 4:52pm

AMANAH tak layan isu video lucah

KUALA LUMPUR: Parti Amanah Negara (AMANAH) tidak pernah membincangkan isu penularan video lucah yang dikaitkan dengan seorang menteri kerana menganggapnya sebagai tidak relevan dan berniat jahat.

Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Abdul Samad, berkata isu terbabit tidak perlu dilayan kerana ia hanya akan menyumbang kepada budaya tidak sihat.

“Isu ini tidak relevan dan kita (AMANAH) tidak sesekali akan melayan kerana jika dilayan, semua menteri pula keluar video. Kita tidak mahu menggalakkan perkara ini menjadi budaya.

“Orang yang serius, tidak akan menyebarkan video terbabit sebaliknya akan menyerahkan kepada polis atau pihak berkuasa yang berkaitan. Tidak perlu menyebarkannya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran bersama Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB), Kelab Kebajikan MAB dan Persatuan Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Naib Presiden MAB, Dr S Radha Krishnan dan Yang Dipertua PERTIS, Mohammad Faizal Che Yusoh.

Mengulas lanjut, Khalid berkata, individu yang menyebarkan video terbabit berniat jahat dan bermotifkan politik.

“Kita tidak akan layan kerana ia tidak relevan dan memiliki ‘mala fide’,” katanya.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam satu kenyataan baru-baru ini menafikan sekeras-kerasnya pembabitannya dalam sebuah video lucah yang tersebar dan menyifatkannya sebagai satu tuduhan jahat dan kejam.

Timbalan Presiden PKR itu menegaskan, beliau yakin siri fitnah itu adalah komplot jahat untuk mencemarkan reputasi dan keperibadian serta menjatuhkan dan memusnahkan karier politiknya.

Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Abdul Samad. - NSTP/Nurul Shafina Jemenon
Berita Harian X