Ahad, 16 Jun 2019 | 6:43pm
ANWAR Ibrahim ketika berucap di Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah, di Kota Kinabalu. - Foto Malai Rosmah Tuah

PH perlu ada 'belas kasihan' kepada rakyat untuk kukuh - Anwar

KOTA KINABALU: Pakatan Harapan (PH) perlu menjadi sebuah kerajaan yang memiliki belas kasihan terhadap rakyat tanpa mengira latar belakang sebagai asas untuk menjadi gabungan yang kuat dan tidak dapat dikalahkan parti lawan.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata belas kasihan penting untuk menjaga orang susah sekali gus menjadikan PH sebagai kerajaan yang lebih baik berbanding pentadbiran sebelum ini.

Beliau berkata, amalan itu juga tidak harus dibataskan dengan warna kulit seseorang, sama seperti konsep keadilan yang perlu dinikmati oleh semua golongan tanpa mengira latar belakang individu.

“Kita perlu ada rasa belas kasihan terhadap orang susah. Sebab apa saya sebut ini kerana ia perlu untuk hidup dan saya mahu komitmen kita lebih baik daripada yang sebelum ini.

“Ia juga bukan hanya jaga satu kaum atau agama tapi untuk manusia seluruhnya, sama seperti keadilan untuk semua, ia tidak kenal warna kulit. Kalau ini ada dalam kerajaan PH, saya yakin tiada dapat kalahkan kerajaan ini.

“Syaratnya kita laksanakan apa yang kita ucapkan. Yang penting ada keprihatinan terhadap orang yang susah sama ada di Sabah atau Semenanjung,” katanya dalam ucapannya pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri PKR Sabah, di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Timbalan Ketua Menteri yang juga Pengerusi PKR Sabah, Datuk Christina Liew; Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Jaujan Sambakong dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna yang juga Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Anwar turut mengingatkan bahawa kekuatan kerajaan PH tidak berlaku dengan hanya kekuatan satu parti, sebaliknya bergantung kepada kekuatan gabungannya dan parti lain termasuk Parti Warisan Sabah (WARISAN).

Katanya, kerajaan PH juga perlu memberi penekanan kepada usaha meningkatkan kefahaman masyarakat pelbagai agama mengenai kepercayaan dan anutan masing-masing sebagai asas untuk mewujudkan rasa hormat terhadap satu sama lain.

Beliau berkata, kefahaman itu juga penting untuk mengukuhkan keyakinan terhadap pegangan agama bagi membentuk moral dan etika yang dapat menghalang amalan negatif seperti rasuah.

Berita Harian X