Ahad, 16 Jun 2019 | 10:27pm

Tiada tindakan terhadap Haziq sehingga siasatan polis selesai - Anwar

KUCHING: PKR tidak akan mengambil tindakan disiplin terhadap Ketua Pemuda Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz, berhubung pengakuannya terbabit dalam video lucah, sehingga siasatan polis selesai.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata beliau sedar terdapat beberapa keperluan untuk parti itu membuka siasatan terhadap Haziq dan dakwaan mereka yang membocorkan data pemimpin serta ahli parti.

“Kami menolak politik kotor tetapi saya tidak akan menghukumnya (Haziq) sebelum polis menyelesaikan siasatan mereka,“ katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Semarak Aidilfitri dan sambutan Gawai Dayak PKR di Kompleks Belia dan Sukan, di sini, hari ini.

Anwar percaya siasatan kes video seks itu akan dijalankan secara profesional dan mengikut prosedur operasi standard polis.

“Kami hanya boleh menentukan apa yang perlu dilakukan apabila ada hasil (siasatan) daripada polis atau beberapa jenis bukti,” katanya.

Beliau berkata PKR akan menunggu siasatan polis terlebih dahulu dan tidak mahu mengambil keputusan terburu-buru untuk menghukum sehinggalah Haziq terbukti bersalah.

Mengenai kenyataan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, yang mahu PKR mengambil tindakan disiplin terhadap dalang yang menyebarkan maklumat nombor telefon ketua cabang dan pegawai rendah cabang, Anwar berkata jalan terbaik ialah menyerahkannya kepada siasatan polis.

Bagaimanapun, Anwar berkata data ahli PKR diberikan kepada calon parti itu pada Pilihan Raya Umum yang lalu.

Beliau berkata Biro Politik PKR memutuskan untuk memberikan data kepada mana-mana calon, yang bertanding atas tiket PKR untuk memastikan mereka mempunyai akses kepada 900,000 ahli di seluruh negara, untuk lebih bersedia dalam pilihan raya.

“Saya akan mengatakan terdapat ratusan atau bahkan ribuan akses (kepada data ahli) sejak tahun 2018.

“Jadi, (seperti yang saya katakan) adalah yang terbaik untuk menyerahkannya kepada polis,” katanya.

PRESIDEN PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bergambar bersama orang ramai pada Majlis Sambutan Semarak Aidilfitri dan sambutan Gawai Dayak PKR di Kompleks Belia dan Sukan, di Kuching, hari ini. - Foto Hazreen Mohamad
Berita Harian X