Isnin, 17 Jun 2019 | 8:54pm
MENTERI di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusuf. - Foto BERNAMA

Pembangkang manipulasi kenyataan saya - Mujahid

KANGAR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusuf berkata pembangkang memanipulasi kenyataannya bagi menampakkan seolah-olah kerajaan mengiktiraf perlakuan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Beliau berkata tindakan itu dilakukan untuk membuatkan kerajaan nampak buruk di mata rakyat.

Katanya, rakyat tersalah faham dengan kenyataannya yang membezakan konteks antara memulihkan golongan berkenaan atau mengiktiraf mereka.

Beliau berkata pendirian itu jelas apabila Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini menerangkannya beberapa kali mengenai pendirian LGBT yang tidak diikriraf.

“Baru-baru ini di United Kingdom, Dr Mahathir pun sudah menyatakan dengan jelas bahawa kita tidak mengiktiraf mereka kerana ia bercanggah dengan pegangan agama kita dan budaya ketimuran.

“Malangnya, ia diputarbelitkan oleh suara politik dengan mengambil contoh perarakan Wanita Sedunia sebelum ini, apabila ada pihak tertentu naik ke atas pentas dan melaungkan ‘hidup LGBT’.

“Lalu mereka menggunakannya sebagai alasan bahawa kerajaan sudah iktiraf LGBT,” katanya ketika ditemui pada Majlis Ramah Mesra Kelab Peduli Masyarakat Perlis di sini, hari ini.

Sebelum ini, Dr Mahathir dalam sesi soal jawabnya di Cambridge Union mempersoalkan gaya hidup golongan yang mengamalkan perkahwinan sejenis.

Ini kerana gaya hidup sedemikian tidak mampu melahirkan zuriat meskipun kini sudah banyak negara mengiktirafnya.

Mengenai isu mengekstradisi pendakwah antarabangsa, Dr Zakir Naik ke negara asalnya, India, Mujahid berkata, pihaknya mahu meneliti terlebih dahulu tujuan utama tindakan Zakir sekiranya kerajaan India ada menghantar surat rasmi berhubung perkara itu.

“Kita hendak tengok dahulu atas isu apa dia perlu diekstradisi ke sana, jika membabitkan isu dalaman sesebuah negara, sememangnya kita tidak mahu campur tangan dalam urusan itu.

“Cumanya saya nak jelaskan di sini, hak ekstradisi ini bergantung kepada negara yang dimohon dan kita ada hak untuk setuju atau tidak (menghantar pulang Zakir),” katanya.

Berita Harian X