Rabu, 19 Jun 2019 | 11:20am
MD Farid Md Rafik

Henti buat tuntutan berhubung peralihan kuasa - Md Farid

KUALA LUMPUR: Peralihan kuasa antara Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Perdana Menteri kelapan, tidak pernah dinyatakan dalam manifesto Pakatan Harapan (PH).

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Md Farid Md Rafik, berkata persefahaman peralihan kuasa yang dicapai ketika penubuhan PH itu juga, tidak menetapkan secara jelas tempoh pelaksanaannya.

Namun, katanya, Dr Mahathir sudah pun beberapa kali menyatakan komitmennya untuk melaksanakan peralihan kuasa kepada bakal Perdana Menteri kelapan.

Sehubungan itu, Md Farid menggesa semua pimpinan dan anggota parti komponen PH berhenti membuat tuntutan berhubung peralihan kuasa antara Dr Mahathir dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Sebagaimana dinyatakan dan komitmen Perdana Menteri, peralihan kuasa ini akan dilaksanakan.

“Namun, ia perlu dilaksanakan secara teratur oleh Yang di-Pertuan Agong dan mengikut peraturan yang ditetapkan, iaitu Perdana Menteri itu mestilah mendapat kepercayaan majoriti Dewan Rakyat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Md Farid berkata, tindakan beberapa pihak yang membuat tuntutan seumpamanya disifatkan sebagai cuba menangguk di air keruh, yang hanya memburukkan keadaan.

“Gesaan seumpama ini dilihat sangat tidak sihat dan boleh merencatkan agenda penambahbaikan yang sedang dan akan dilaksanakan, selaras dengan suara serta kehendak rakyat.

“Kita harus berdiri teguh dan memberi ruang secukupnya kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad melaksanakan agenda pembangunan dan pembaharuan negara,” katanya.

1153 dibaca
Berita Harian X