Rabu, 19 Jun 2019 | 11:53am
MUHAMMAD Khalil beramah mesra bersama perwakilan pada majlis perasmian Muktamar, Dewan Pemuda PAS di Bukit Gambang Resort City. - Foto Farizul Hafiz Awang

Muktamar Pemuda PAS: Faham, terima prinsip 'demi Islam' - Khalil

KUANTAN: Pemuda PAS terbuka memeterai kerjasama dengan mana-mana pihak yang memahami dan menerima prinsip ‘demi Islam’.

Ketua Dewan Pemuda PAS, Muhammad Khalil Abdul Hadi, ketika mengutarakan pendirian itu menyifatkan parti Islam itu adalah paling dinamik dan berani dalam memutuskan sesuatu berdasarkan prinsip.

Sejak ditubuhkan pada 24 November 1951, katanya, PAS menerusi usaha kerjasama politik pernah bersama dan berseteru dengan pelbagai pihak di negara ini seperti UMNO, PKR dan DAP.

“PAS dan UMNO pernah bersatu, selain berpatah arang bersama DAP, sebelum menjalin persahabatan dengan mereka, begitu juga kisahnya membabitkan PKR.

“Kita tidak ragu-ragu memutuskan hubungan. Menerusi semua tindakan ini, ada ahli yang menerima dengan patuh dan taat, manakala segelintir tidak bersetuju tetapi diam dalam reda serta lari daripada perjuangan kerana membantah.

“Bagaimanapun, apabila prinsip menjadi dasar perjalanan parti, kesan bukan sesuatu yang perlu dibimbangkan kerana ia milik Allah,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar sempena Muktamar Dewan Pemuda PAS Ke-60, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man; Naib Presidennya, Idris Ahmad dan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Muhammad Khalil berkata, keutamaan PAS ialah setiap tindakan yang dirintis sepanjang sejarah politiknya, sama ada menerusi konsep tahaluf atau taawun harus bersandarkan prinsip utama dalam perlembagaan parti, iaitu demi mempertahankan Islam.

“Dalam mencapai matlamat ini, PAS sentiasa menyedari bahawa penguasaan politik, ekonomi dan sosial sangat penting, malah ia perlu didukung oleh kesatuan serta kesepakatan yang erat tanpa mengira ideologi.

“Dengan penguasaan politik, ekonomi dan sosial ini akan menjadikan kita ummah yang mampu berdiri sendiri serta gagah dalam berdepan ancaman luar atau dalam terhadap Islam.

“Oleh itu, Pemuda PAS mengangkat tema ‘Demi Islam’ supaya kita kembali kepada prinsip teras perjuangan parti dan menjadikan ia panduan dalam setiap tindakan yang bakal diambil.

“Ia juga akan menjadi prinsip utama kepada kesepakatan yang telah dan akan diwujudkan pada masa depan,” katanya.

280 dibaca
Berita Harian X