Rabu, 19 Jun 2019 | 12:22pm
Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berucap pada majlis perasmian Muktamar, Dewan Pemuda PAS di Bukit Gambang Resort City, Kuantan. - Foto Farizul Hafiz Awang

Muktamar Pemuda PAS: 'Telefon bimbit lebih tajam daripada keris'

KUANTAN: PAS kekal terbuka dalam menjalin kerjasama dengan mana-mana parti politik, asalkan dasar yang diperjuangkan tidak dipertikai.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata kesediaan PAS itu terbukti menerusi persepakatan dengan DAP dan PKR sebelum ini, walaupun terputus di pertengahan jalan.

Katanya, prasyarat paling utama ialah semua pihak perlu menghormati dasar masing-masing dalam parti.

“Kita parti inklusif dan kita bukan bersikap ‘kita sendiri’ yang tidak boleh bersama parti lain.

”Kita sedia buka ruang, asalkan dasar yang kita bawa dihormati.

“Ketika ini, kita ada jawatankuasa induk dan teknikal dengan UMNO bagi mencari kesepakatan,” katanya berucap merasmikan Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS ke-60 di Bukit Gambang Resort City di sini, hari ini.

Hadir sama, Naib Presiden PAS, Idris Ahmad; Ketua Dewan Pemuda PAS, Muhammad Khalil Abdul Hamid dan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Tuan Ibrahim tampil dengan persalinan songket rona hijau ibarat pahlawan Melayu, lengkap bertanjak bersama dokoh berbentuk bintang serta bulan sabit.

Beliau diiringi Muhammad Khalil yang turut mengenakan busana serupa, seiring tema Muktamar Dewan Pemuda PAS kali ini, ‘Demi Islam’.

Dalam nada berseloroh, Tuan Ibrahim mengakui ia bukan kali pertama beliau berpakaian sedemikian, namun agak kekok kerana sudah lama tidak mengenakannya.


Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (tengah) bersama Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Muhammad Khalil Abdul Hadi (dua kanan) melakukan gimik pelancaran pada majlis perasmian Muktamar, Dewan Pemuda PAS di Bukit Gambang Resort City, Kuantan. - Foto Rarizul Hafiz Awang

Tuan Ibrahim berkata, Muktamar PAS kali ini akan memperincikan isu kerjasama dengan UMNO kepada perwakilan, selain membahaskan usul persefahaman berkenaan.

“Politik bukan untuk mendapatkan kuasa, tetapi bagaimana menguruskan kuasa.

“Kita berpolitik untuk mendapat pahala dan membawa rakyat mendapat keredaan Allah.

“Justeru, PAS bertanggungjawab menjelaskan kepada rakyat mengenai parti,” katanya.

Beliau turut menyentuh peranan media sosial dan meminta ahli Pemuda PAS lebih proaktif ke arah memacu kemenangan parti pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“Orang bertanya kepada saya, mana keris? Zaman sekarang, telefon bimbit lebih tajam daripada keris kerana adanya media sosial.

“Kita tidak mampu mengawal media sosial kerana setiap orang bertanggungjawab atas apa yang ditulis.

“Jadikan media sosial sebagai medan pemangkin kemenangan parti,” katanya.

Tuan Ibrahim turut mengucapkan tahniah kepada Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador yang berusaha membanteras gejala rasuah dan mengawal pusat hiburan.

“Kita menyokong penuh usaha ini dan kerja keras semua anggota polis,” katanya.

623 dibaca
Berita Harian X