Khamis, 20 Jun 2019 | 2:42pm

Dewan Ulama sokong taawun PAS-UMNO

KUANTAN: Dewan Ulama PAS Pusat secara rasmi menzahirkan sokongan terhadap kerjasama atau taawun siyasi parti itu bersama UMNO, atas landasan mengukuhkan perjuangan Islam di negara ini.

Pendirian itu dinyatakan oleh Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Dr Mahfodz Mohamed, dalam ucaptama bertema ‘Ulama Memimpin Penyelesaian Islam’ sempena Muktamar Dewan Ulama ke-58 di hadapan 680 perwakilan di Wisma Belia di sini, hari ini.

Mengupas isu berkenaan secara terperinci menerusi tajuk ‘Sokongan Kepada Taawun PAS-UMNO’, beliau berkata, kerjasama itu adalah strategi penggabungan undi yang bakal menguatkan suara semak dan imbang terhadap kerajaan.

“Dewan Ulama PAS Pusat menyokong penuh usaha taawun siyasi demi maslahat Islam. Sejak awal, PAS mempunyai pengalaman kerjasama bersama parti lain demi kepentingan negara.

“Taawun PAS-UMNO akan memastikan tidak berlaku pertembungan calon pada pilihan raya.

“Jika itu berlaku, ia hanya merugikan kedua-dua pihak dalam suasana pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) kerana boleh menyebabkan berlaku perpecahan undi,” katanya.

Muktamar Dewan Ulama dirasmikan oleh Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin.

Mahfodz berkata, segala perubahan strategi PAS dibuat atas perbincangan, dengan prasyarat ia tidak bercanggah dengan syarak dan menguntungkan perjuangan Islam seperti yang termaktub dalam perlembagaan parti.

“Jalan ini diambil dalam semua agenda, siasah, dakwah dan tarbiah, sehingga kepada tahaluf siyasi bersama DAP serta terbatalnya kerjasama itu selepas berlaku perlanggaran syarat.

“Kini ada pula taawun bersama UMNO demi survival agama Islam, institusi raja Melayu, kestabilan politik negara dan penjagaan hak istimewa kaum teras Melayu serta Bumiputera,” katanya.

Beliau berkata, PAS membuat keputusan mengikut nasihat Majlis Syura Ulama dan Dewan Ulama manakala perbincangan peringkat tertinggi dibuat mengikut hukum syarak sebagai jaminan perjuangan parti berada di landasan betul.

Beliau berkata, analisis PRU-14 mendapati DAP menarik 90 peratus undi Cina dan kaum ini menjadi penentu walaupun dalam keadaan pengundi Melayu didapati antara 40 hingga 60 peratus.

Katanya, ia berpunca daripada undi kaum Melayu berpecah lima kepada PAS, UMNO, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Parti Amanah Negara (AMANAH) dan PKR.

Sehubungan itu, beliau melihat taawun PAS-UMNO bakal mewujudkan kestabilan politik dan boleh meraih sekurang-kurangnya 65 peratus undi Melayu.

Perwakilan mendengar ucapan oleh Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Dr Mahfodz Mohamed pada majlis perasmian Muktamar Tahunan Dewan Ulama Pas Pusat Kali Ke-58 di Wisma Belia, Indera Mahkota. - Foto Farizul Hafiz Awang
Berita Harian X