Khamis, 20 Jun 2019 | 3:44pm
Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail. - Foto BERNAMA

Ahli PKR diminta jangan buat kenyataan tanpa asas, fakta

KUALA LUMPUR: Semua ahli PKR diminta mematuhi keputusan yang diputuskan kepemimpinan tertinggi parti dan tidak membuat sebarang kenyataan tanpa asas dan fakta terhadap pemimpin dan parti.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perbuatan sedemikian boleh mengundang tindakan mengikut peruntukan di dalam peraturan dan perlembagaan parti.

Katanya, beliau merujuk kenyataan yang dikeluarkan oleh Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nazree Yunus semalam yang menolak keputusan Lembaga Disiplin PKR berhubung arahan surat tunjuk sebab kepada Haziq Abdullah Abdul Aziz, individu dalam video lucah dikaitkan dengan Mohamed Azmin menjawab surat tunjuk sebab, sebaliknya meminta Haziq dipecat serta merta.

“Saya ingin memaklumkan bahawa keputusan Lembaga Disiplin PKR yang bermesyuarat pada 16 Jun sudah dibentang serta dipersetujui oleh Biro Politik parti pada mesyuarat bertarikh 19 Jun 2019.

“Persetujuan itu adalah secara sebulat suara dalam mesyuarat Biro Politik yang dihadiri oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Naib Presiden parti, Zuraida Kamaruddin; Tian Chua; Dr Xavier Jayakumar; Rafizi Ramli dan Chang Lih Kang; Ketua Pemuda PKR, Akmal Nasrullah Mohd Nasir;Ketua Wanita PKR, Haniza Mohd Talha; Setiausaha Pengelola parti, Nik Nazmi Nik Ahmad Nik Nazmi dan ahli jawatankuasa biro politik Sivarasa Rasiah, William Leong, Dr Syed Husin Ali dan saya sendiri selaku Setiausaha Agung.

“Timbalan Presiden parti, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bagaimanapun tidak hadir,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Semalam, Mohd Nazree dalam satu sidang media selepas mesyuarat AMK, menyatakan AMK membantah keputusan Lembaga Disiplin PKR yang hanya meminta Haziq Abdullah, individu dalam video lucah dikaitkan dengan Mohamed Azmin menjawab surat tunjuk sebab.

Sebaliknya AMK menggesa Lembaga Disiplin parti supaya segera memecat Haziq Abdullah.

Saifuddin menjelaskan pemimpin yang hadir ketika mesyuarat Biro Politik itu sudah mendengar sendiri keputusan yang dibuat oleh Lembaga Disiplin dan turut mengemukakan pandangan masing-masing.

“Pada akhirnya, Biro Politik bersetuju dengan keputusan Lembaga Disiplin yang salah satunya adalah mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada Haziq Abdullah,” katanya.

Keputusan Lembaga Disiplin PKR itu dibentangkan kepada Biro Politik semalam, antara lain memutuskan parti tidak memecat atau menggantung keahlian Haziq Abdullah sebaliknya meminta Ketua AMK Cabang Santubong itu menjawab surat tunjuk sebab dalam tempoh 14 hari.

297 dibaca
Berita Harian X