Jumaat, 21 Jun 2019 | 12:39pm

PAS tidak akan tuntut jadi ketua - Hadi

KUANTAN: PAS tidak akan menuntut hak untuk menjadi ketua sekiranya menjalin hubungan ‘taawun’ bersama UMNO bagi mendepani Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, berkata gabungan politik yang dikenali sebagai kepemimpinan Islam itu bersifat fleksibel, termasuk dalam percaturan memilih ‘nakhoda’ pergerakan.

“Kita sebut secara umum, kepemimpinan Islam bukan mesti (diterajui) oleh UMNO atau PAS, boleh jadi pihak ketiga diangkat sebagai ketua kerana politik ini fleksibel.

“Kita tidak menuntut (untuk menjadi ketua), melainkan bila orang memaksa dan perlu kita berada di hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan ucapan dasar sempena Muktamar Tahunan PAS Ke-65, di Stadium Tertutup SUKPA di sini, hari ini.

Menerusi persidangan Muktamar Dewan Pemuda PAS sebelum ini, beberapa perwakilan membangkitkan keperluan supaya parti itu dinobat sebagai ketua selepas menjalinkan hubungan taawun atau kerjasama dengan UMNO.

Langkah itu dikatakan perlu dalam memastikan pergerakan kepemimpinan Islam PAS-UMNO didasari perlembagaan al-Quran dan hadis Nabi Muhammad.

Ia turut dibangkitkan Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin, ketika merasmikan Muktamar Dewan Ulama semalam, yang berpendapat PAS mesti mengetuai sebarang kerjasama politik pada masa depan dan tidak lagi menjadi pengikut semata-mata.

Menyentuh perkembangan hubungan bersama MCA, Hadi berkata, PAS sudah membuka pintu bagi memeterai kerjasama dengan rakan parti komponen Barisan Nasional (BN) itu.

“Kita sudah membuka pintu kepada MCA, terpulang kepada mereka. Sebelum ini sudah ada langkah awal yang berlaku (ke arah hubungan kerjasama) seperti Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong,” katanya.

Ditanya syarat calon yang ingin memeterai kerjasama, Hadi berkata, PAS tidak mempunyai ‘senarai hitam’ yang mengekang mana-mana pihak daripada menjalinkan hubungan taawun.

Katanya, PAS akan membuka pintu seluasnya kepada mana-mana pihak selagi mereka sedia ‘memutihkan’ diri dan mampu memahami dasar perjuangan bersandarkan kepentingan memartabatkan Islam.

“Senarai hitam itu ialah kelompok yang tidak terima kerjasama, justeru dari awal mereka (bertindak) keluar parti, kecuali dia dapat memutihkan hatinya.

“(Jika kelompok berkenaan mampu) menerima kerjasama ini, mereka akan balik kepada PAS, kita terbuka,” katanya.

901 dibaca
PRESIDEN PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyampaikan ucapan dasar sempena Muktamar Tahunan PAS Ke-65, di Stadium Tertutup SUKPA, Kuantan, hari ini. - Foto Farizul Hafiz Awang
Berita Harian X