Sabtu, 22 Jun 2019 | 11:17am

UMNO, PAS perlu lepaskan 'bebanan'

KUANTAN: UMNO dan PAS perlu bersedia melepaskan sebarang ‘bebanan’ yang bakal merencatkan piagam muafakat politik kedua-dua parti.

Wakil PAS Johor, Ahmad Al Johari Mohd Yusof, berkata kerjasama politik berteraskan prinsip Islam itu masih pada peringkat awal, justeru beberapa aspek dan perincian perlu diperhalusi kepemimpinan tertinggi.

“Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) umpamanya. UMNO pertahankan dasar ini, manakala PAS menentangnya.

“Kedua-dua pihak kena bersedia melepaskan bebanan yang menyusahkan atau (boleh) mengganggu perjanjian (muafakat politik) ini,” katanya ketika sesi perbahasan ucapan dasar Presiden sempena Muktamar Tahunan PAS Ke-65, di sini, hari ini.

Ahmad mendakwa, tinjauan pada peringkat akar umbi menyaksikan rakyat menyokong dan ingin melihat kerjasama UMNO-PAS menjadi realiti, menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Bagaimanapun, katanya, kepemimpinan PAS tidak boleh mengetepikan hakikat bahawa wujud pelbagai maklum balas, iaitu positif dan negatif dalam kalangan ahlinya.

“Ada ahli rasa terlalu ghairah dengan suasana kerjasama (PAS-UMNO) ini, tetapi ada juga yang kurang selesa, ragu-ragu dan malu-malu.

“Oleh itu, kami berdebar-debar menantikan isi kandungan piagam muafakat politik PAS-UMNO ini yang difahamkan berada dalam fasa akhir penelitian,” katanya.

Menangkis persepsi negatif, Ahmad berkata, ciri kerjasama politik yang disifatkan serupa Piagam Madinah itu tidak akan meminggirkan mana-mana pihak, termasuk masyarakat bukan Islam.

Beliau sebaliknya menjelaskan, muafakat itu hanya menyenaraikan keutamaan yang perlu diberikan kepada kelompok tertentu, mengikut beberapa faktor dan latar belakang.

“Tiada pihak yang akan tercicir, cuma ia (piagam muafakat politik) disusun mengikut keutamaan,” katanya.

Wakil PAS Johor, Ahmad Al Johari Mohd Yusof. - NSTP/Muhd Asyraf Sawal
Berita Harian X