Sabtu, 22 Jun 2019 | 1:46pm
Sebahagian perwakilan PAS yang hadir pada Muktamar Tahunan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) kali ke-65 di Stadium Tertutup SUKPA. - NSTP/Muhd Asyraf Sawal

Jangan kejar politik hingga abai tarbiah - Perwakilan PAS

KUANTAN: PAS diingatkan supaya tidak terlalu ghairah mengutamakan politik sehingga mengabaikan aspek tarbiah dalaman untuk kekal sebagai sebuah entiti.

Perwakilan Negeri Sembilan, Hassan Mohamed, berkata masih ada ahli PAS tidak serius dalam mempertahankan perjuangan, terutama susulan keputusan parti untuk bekerjasama dengan UMNO.

“Parti kita ini parti politik, dakwah dan tarbiah, maka ia mesti selari untuk mencapai matlamat ditetapkan.

“Jangan ada dalam kalangan kita yang meletakkan politik di depan dan meninggalkan tarbiah dalaman sehingga tersasar daripada matlamat sebenar parti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan usul ucapan dasar Presiden pada Muktamar Tahunan PAS Ke-65 di Stadium Tertutup SUKPA, di sini, hari ini.

Katanya, kerjasama PAS dan UMNO boleh diibaratkan sebagai dua saudara yang saling memerlukan.

“Mereka memerlukan PAS untuk kemenangan dan kerja ini mesti dilakukan atas landasan Islam.

“Kerjasama PAS dan UMNO dibuktikan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Rantau dan kita berpuas hati supaya ia diteruskan sehingga Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15),” katanya.

Perwakilan dari Perak, Khalil Idham Lim, membidas segelintir pihak yang memainkan sentimen agama dengan mendakwa memeluk Islam bermakna menjadi Melayu.

“Ada yang bertanya, saya memeluk Islam bererti saya masuk Melayu. Saya ingin tegaskan, memeluk agama Islam tidak mengubah bangsa baik Cina mahupun India atau apa sahaja.

“Saya menyertai parti ini kerana PAS tidak membezakan bukan Melayu, asalkan Islam, dan PAS tidak pernah mengetepikan kaum serta agama lain,” katanya.

Wakil Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP), Kong Tuck Wah, mengingatkan ahli PAS supaya tidak memarahi Cina dan India ahli DAP secara menyeluruh, sebaliknya merujuk kepada ‘bangsa’ DAP.

“Nama PAS sudah diracun oleh DAP sehingga PAS dianggap sebagai anti bukan Muslim dan perkauman.

“Mereka dakwa PAS buat hudud potong kaki dan tangan, tetapi hukuman hanya untuk orang Islam yang jahat.

“Jangan marah Cina dan India DAP, sebaliknya marahkan ‘bangsa’ DAP. Ramai juga kaum Cina dan India tidak sokong DAP,” katanya.

Beliau turut membangkitkan tindakan segelintir ahli politik menjadikan isu pendidikan dan agama sebagai senjata politik.

Katanya, isu sensitif seperti itu tidak wajar digunakan sebagai senjata politik atau ugutan demi mendapat sokongan politik.

Berita Harian X