Selasa, 25 Jun 2019 | 4:35pm
PENGERUSI AMANAH Perak, Asmuni Awi (dua dari kanan) beramah mesra dengan tetamu pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri AMANAH Perak di Ipoh, hari ini. - Foto Abdullah Yusof

Jelaskan 'fatwa' wajib jatuhkan PH

IPOH: Parti Amanah Negara (AMANAH) Perak meminta PAS memberi penjelasan mengenai ‘fatwa’ terbaru parti berkenaan yang menyatakan wajib menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Pengerusi AMANAH Perak, Asmuni Awi, berkata tindakan Dewan Ulama parti itu mengaitkan usaha menjatuhkan kerajaan PH berdasarkan hukum Islam perkembangan tidak sihat kerana menggunakan agama untuk kepentingan politik.

“Dahulu (PAS) menggunakan agama melawan UMNO dikatakan (kerana) UMNO kafir. Sekarang menggunakan agama untuk mengatakan wajib menjatuhkan PH. Saya nak tanya wajib jatuhkan PH kerana apa? Apa hujahnya?

“Kalau dikatakan kami tidak ikut Islam, tunjukkan kepada kami apa yang kami tidak ikut Islam, berbanding dengan UMNO. Adakah kami mencuri? Menyokong penjenayah? Adakah kami mengamalkan rasuah? Adakah kami gagal dalam melaksanakan tugas kami sebagai kerajaan yang memerintah?

“Dia kena terangkanlah. Sebab dia kata wajib. Itu hukum. Tidak ikut berdosa, masuk neraka,” katanya hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh, pada muktamar tahunan PAS di Kuantan, baru-baru ini, bahawa menjatuhkan kerajaan sedia ada di bawah pemerintahan PH perkara wajib dilakukan.

Nik Muhammad Zawawi dipetik berkata, tiada kekeliruan mengenai hal itu dan menggesa PAS tidak banyak menoleh ke belakang dengan menyatakan matlamat itu akan dicapai menerusi muafakat politik dan kerjasama demi kepentingan Islam yang diwujudkan parti itu dengan UMNO serta parti politik bukan Islam yang tidak ekstrem.

Bercakap pada sidang media selepas majlis Rumah Terbuka Aidilfitri AMANAH Perak di sini hari ini, Asmuni yang juga EXCO kerajaan negeri, berkata sebelum ini apabila PH menyatakan mahu menjatuhkan UMNO, mereka tidak mengaitkannya dengan hukum Islam tetapi menyatakan mahu menjaga kebajikan rakyat.

Katanya, itu berbeza dengan PAS yang sentiasa akan mengeluarkan ‘fatwa’ baharu setiap kali mengadakan muktamar dan dikaitkan tindakan politik parti itu dengan hukum Islam.

“Ini dikatakan PAS membawa doktrin untuk pengikutnya yang dikaitkan dengan agama. Jadi mereka yang tidak mahir dengan agama apabila yang bercakap itu ada janggut, berserban, dia kata ini satu perintah yang tidak boleh sangkal. Kena ikut. Ini satu perintah. Betul tidak betul kena ikut, sebab yang bercakap ini ulama,” katanya.

Asmuni yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi, juga meminta kepemimpinan PAS dan UMNO agar tidak menyempitkan maksud ‘penyatuan ummah’ hanya membabitkan kedua-dua parti itu, sebaliknya harus membabitkan semua umat Islam di negara ini.

Beliau berkata, agenda PH sebenarnya lebih besar iaitu bukan hanya penyatuan umat Islam tetapi juga perpaduan seluruh rakyat tanpa mengira kaum, agama, keturunan, latar belakang dan wilayah.

Berita Harian X