Rabu, 3 Julai 2019 | 10:24pm
GAMBAR fail, bekas Setiausaha Sulit Kanan Timbalan Menteri Industri Utama, Muhammad Haziq Abdullah Abdul Aziz dibebaskan dengan jaminan polis di hadapan IPD Dang Wangi, pada 15 Jun lalu. - Foto Hafiz Sohaimi

PKR pecat Haziq kerana melanggar kod tata etika parti

PETALING JAYA: PKR membuat keputusan memecat Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz daripada parti itu berkuat kuasa serta-merta atas kesalahan melanggar kod tata etika parti.

Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata Biro Politik PKR yang diketuainya membuat keputusan itu malam ini, selepas menerima syor dibentangkan Lembaga Disiplin parti dan surat pemecatan itu akan dikeluarkan segera.

“Lembaga Disiplin hari ini memberi syor memecat Haziq Abdullah dan Biro Politik yang bermesyuarat malam ini membuat keputusan menerima syor itu sebulat suara,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini, sebentar tadi.

Yang turut hadir, Pengerusi Lembaga Disiplin PKR, Datuk Ahmad Kasim; Naib Presiden, Datuk Shamsul Iskandar Mohd Akin dan Ketua AMK, Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Lembaga Disiplin pada 19 Jun lalu membuat keputusan untuk memberikan surat tunjuk sebab kepada Haziq Abdullah kerana didapati mencemarkan dan berniat merosakkan nama parti.

Haziq Abdullah menerima surat tunjuk sebab kerana membuat pengakuan terbuka sebagai individu dalam video lucah dikaitkan dengan seorang menteri.

Pada sidang media itu, Ahmad terlebih dulu menyatakan sebab Lembaga Disiplin PKR memberi syor kepada Biro Politik parti untuk memecat Haziq Abdullah.

“Kami menerima surat jawapan Haziq Abdullah bertarikh 2 Julai lalu. Selepas meneliti surat itu, dalam mesyuarat bersama Biro Politik hari ini, kita mencadangkan beliau dipecat daripada parti kerana didapati melanggar kod tata etika parti.

“Alasan mengemukakan syor memecat beliau ialah kerana beliau membuat tuduhan terbuka terhadap pimpinan parti berhubung salah laku rasuah tanpa bukti.

“Beliau juga membuat tuduhan terbuka dalam hal lain iaitu dalam kes yang sedang disiasat polis (video lucah),” katanya.


Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang juga Anggota Parlimen Port Dickson Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika sesi dialog pada Program 'Wild Digital Sea 2019' hari ini. - Foto BERNAMA

Mengulas keputusan kerajaan untuk tidak meneruskan siasatan terhadap syor Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Untuk Menyiasat Kerugian Urus Niaga Mata Wang Asing Negara (Forex), Anwar berkata PKR berpandangan satu siasatan yang telus harus dijalankan.

“Kalau kerajaan sudah putuskan (tidak meneruskan siasatan), terserah kepada kebijaksanaan kerajaan jika ada fakta,” katanya.

Sementara itu, Anwar berkata, keputusan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kembali menjalankan tugas sebagai Presiden UMNO tidak akan menjejaskan Pakatan Harapan (PH).

"Saya bukan ahli UMNO. Ya saya pernah jadi Timbalan Presiden UMNO, itu tahun 1998. Bagi saya itu (Ahmad Zahid kembali dari bercuti) keputusan dalaman UMNO. Ia tidak menjejaskan PH.

"Keputusan Ahmad Zahid itu menunjukkan UMNO belum mantap dan pemimpin yang diserah menjalankan tugas Presiden tidak mendapat dukungan kuat," katanya.

Berita Harian X