Khamis, 4 Julai 2019 | 6:57pm
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin pada majlis Ramah Mesra bersama YB Menteri KPKT bersempena dengan sesi Perbincangan Perlaksanaan Projek PR1MA di Tristle Port Dickson, Negeri Sembilan. - Foto Adzlan Sidek

Patut pecat Haziq lebih awal - Zuraida

PORT DICKSON: Naib Presiden PKR Zuraida Kamaruddin berkata keputusan memecat Haziq Abdullah Abdul Aziz, adalah langkah tepat tetapi menegaskan ia sepatutnya dibuat lebih awal bagi mengelak penyebaran spekulasi yang boleh menjejaskan keyakinan orang ramai terhadap parti.

Zuraida yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, tindakan memecat Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMM) Cabang Santubong itu adalah wajar tetapi beliau berasa sedikit ralat.

“Sepatutnya dia (Haziq Abdullah) dipecat lebih awal. Saya berharap sekiranya ada kes-kes seumpama ini pada masa akan datang, tindakan yang tangkas dan cepat dapat diambil oleh parti supaya spekulasi dan penyebaran maklumat dapat dihentikan secepat mungkin.

“Kalau tidak dihentikan, nanti rakyat tiada kerja lain selain membaca cerita-cerita seperti ini. Macam mana hendak bangunkan negara? Kita perlu hentikan budaya seperti ini,” katanya ditemui selepas sesi Townhall Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA), di sini, hari ini.

BH hari ini melaporkan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pemecatan Haziq Abdullah yang juga bekas Setiausaha Sulit Kanan Timbalan Menteri Industri Utama, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin daripada PKR berkuat kuasa serta-merta atas kesalahan melanggar kod tata etika parti.

Keputusan itu diputuskan oleh Biro Politik PKR yang diketuai Anwar, selepas menerima syor dibentangkan Lembaga Disiplin parti selepas mendapati Haziq Abdullah telah mencemar dan berniat merosakkan nama parti.

Pada 19 Jun lalu, Zuraida turut menyelar kepimpinan parti yang tidak mengambil sebarang tindakan terhadap Haziq Abdullah walaupun selepas membuat pengakuan terbabit dalam video seks yang dikaitkan dengan seorang menteri.

Berita Harian X