Sabtu, 6 Julai 2019 | 2:38pm

BERSATU perlu konsisten - Guan Eng

GEORGETOWN: Kepemimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) diharap konsisten dengan keputusannya sebelum ini berhubung pengambilan ahli daripada mana-mana parti lain.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, berkata pihaknya akan berpegang kepada konsensus dalam Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) bahawa mana-mana pemimpin didapati terbabit dalam rasuah tidak akan diterima masuk.

“Saya belum baca kenyataan Tun M (Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad) dan ini baru dengar tetapi akan anggap ia adalah konsisten dengan apa yang beliau sebut sebelum ini (kemasukan beberapa Ahli Parlimen UMNO ke BERSATU).

“Sebelum ini BERSATU ada terima beberapa ahli UMNO, kecuali pemimpin tertentu seperti mereka yang terbabit atau bergelumang dengan rasuah atau skandal 1MDB (1Malaysia Development Berhad).

“Kalau ambil Ku Nan (Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor) atau Najib Razak (bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak), itu perkara lain,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Semalam, Dr Mahathir mempelawa semua parti politik Melayu, termasuk UMNO untuk menyertai BERSATU bagi menguatkan kuasa politik kaum majoriti itu, selain menyifatkan penyatuan itu penting kerana Melayu kini sudah terbahagi dan berpecah kepada enam parti.

Terdahulu, Guan Eng yang juga Menteri Kewangan mengumumkan kejayaan Perpustakaan Digital Pulau Pinang (PDL) bersama projek arkitek prinsipal, Tan Bee Eu merangkul pingat emas dianugerahkan Persatuan Arkitek Malaysia.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, syarikat teknologi utama China, Huawei bakal mengadakan lawatan ke Malaysia untuk menerokai peluang pelaburan dalam bidang teknologi berkaitan 5G.

Katanya, pelawaan itu dibuat untuk melihat sejauh mana Huawei boleh memberi sumbangan dalam mempertingkatkan teknologi 5G ketika lawatannya ke pejabat syarikat berkenaan di Shenzen, China, baru-baru ini.

“Selepas diberi taklimat oleh Huawei di China, saya juga jemput mereka untuk datang dan melihat sendiri sama ada boleh beri sokongan, iaitu dengan memberi imbuhan atau tambahan dalam unsur teknologi 5G.

“Selain itu, saya juga mempelawa mereka berkunjung ke PDL, dan mungkin akan datang dalam tempoh dua hingga tiga minggu lagi.

“Sekiranya Huawei boleh bantu, ini akan jadi satu projek perintis dalam usaha untuk meningkatkan sistem internet berkelajuan 5G di PDL,” katanya.

LIM Guan Eng semasa sidang media berhubung isu parti Melayu di sarankan masuk Parti Bersatu di Penang Digital Library, Jalan Masjid Negeri, Georgetown. - Foto Ramdzan Masiam
LIM Guan Eng semasa sidang media berhubung isu parti Melayu di sarankan masuk Parti Bersatu di Penang Digital Library, Jalan Masjid Negeri, Georgetown. - Foto Ramdzan Masiam
Berita Harian X