Ahad, 7 Julai 2019 | 5:58pm
Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan. - NSTP/Muhd Asyraf Sawal

Pembahagian jawatan diperinci dalam Piagam Muafakat Nasional UMNO-PAS

KUALA TERENGGANU: Pembahagian jawatan EXCO kerajaan negeri di negeri yang ditadbir oleh PAS dan UMNO antara yang diperincikan dalam Piagam Muafakat Nasional UMNO-PAS yang akan dimuktamadkan Rabu ini.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan, berkata perkara mengenai pembahagian kuasa susulan taawun siyasi UMNO-PAS itu akan ditentukan dalam piagam berkenaan yang dirangka oleh Jawatankuasa Teknikal kedua-dua parti.

“Dalam piagam inilah kita akan tentukan (pembahagian jawatan). Sudah tentulah apabila kita ada persefahaman, kita akan ada perkongsian.

“Cara macam mana, jawatan apa dan apa perinciannya itu kita tentukan dalam piagam yang akan kita muktamadkan dalam mesyuarat bersama Jawatankuasa Perunding PAS-UMNO dan Jawatankuasa Teknikal kedua-dua parti pada malam Rabu ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis perasmian Bengkel Literasi Kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat Dewan Undangan Negeri (ADUN) Terengganu oleh Yang Dipertua DUN Terengganu, Yahaya Ali di sini, hari ini.

Beliau mengulas cabaran Pengerusi PKR negeri, Azan Ismail supaya empat kerajaan negeri diterajui Barisan Nasional (BN) dan PAS membuktikan kerjasama dan penyatuan dua parti itu dengan menzahirkannya dalam bentuk agihan kerusi EXCO dalam pentadbiran kerajaan negeri.

Beliau berkata, ia penting bagi membuktikan kerjasama UMNO dan PAS bukan retorik atau senda politik semata-mata, sebaliknya benar-benar ikhlas untuk kepentingan rakyat sepertimana yang sering dicanangkan kepada ahli dan penyokong kedua-dua parti.

Mengulas lanjut Takiyuddin berkata, perincian dalam piagam itu akan dimuktamadkan pada mesyuarat malam Rabu ini oleh Jawatankuasa Perunding PAS-UMNO dianggotai 11 orang daripada setiap parti diketuai Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan dan Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

“Selepas dipersetujui, piagam ini akan diangkat ke peringkat seterusnya untuk dimeterai dan menjadi garis panduan yang lengkap dan komprehensif untuk menyeimbangkan kedua-dua parti kerana kita sudah bekerjasama.

“Piagam ini macam MoU (memorandum persefahaman) dan dijangka ditandatangani Presiden UMNO dan PAS iaitu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada Ogos depan,” katanya.

585 dibaca
Berita Harian X