Selasa, 9 Julai 2019 | 7:25pm
Timbalan Ketua Angkatan Muda PKR, Muhammad Hilman Idham. - NSTP/Nurul Shafina Jemenon

Gabungan parti politik Melayu bina naratif baharu

KUALA LUMPUR: Pelawaan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad supaya politik Melayu bergabung dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) berupaya membina naratif dan model politik baharu yang lebih mampan demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.

Timbalan Ketua Angkatan Muda PKR, Muhammad Hilman Idham, berkata melalui penyatuan parti politik Melayu, Malaysia akan kekal sebagai negara kosmopolitan yang meraikan kepelbagaian dan berpijak atas realiti demografi masyarakat di Malaysia.

“Ini sekali gus akan menjamin kestabilan politik mampan sebagai prasyarat memacu pertumbuhan ekonomi demi melonjakkan Malaysia sebagai kuasa ekonomi serantau,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Jumaat lalu, Dr Mahathir yang juga Pengerusi BERSATU mempelawa semua parti politik Melayu termasuk UMNO menyertai parti itu bagi menguatkan kuasa politik kaum majoriti itu yang kini berpecah kepada enam parti.

Muhammad Hilman berkata, pelawaan itu tidak akan meminggirkan mana-mana kaum di Malaysia, malah menjadi sebahagian daripada falsafah berkongsi kemakmuran.

Justeru, pihaknya yakin undangan Perdana Menteri itu akan menjana model politik baharu yang mampan dan stabil serta menjana pengukuhan sokongan rakyat kepada Pakatan Harapan (PH) khususnya di kawasan luar bandar.

Berita Harian X