Rabu, 10 Julai 2019 | 5:26pm
PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada sidang media di lobi Parlimen, hari ini. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

Pelantikan Najib bertentang dengan kehendak rakyat

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata pelantikan Datuk Seri Najib Razak sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN) mungkin bertentangan dengan kehendak rakyat.

Perdana Menteri berkata, keputusan BN menerima kembali Najib adalah berbeza dengan kemahuan rakyat yang sudah menghukum kerajaan pimpinannya pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Dalam pembangkang, mereka mahukan Najib semula. Itu terpulanglah pada mereka.

“Tetapi, sama ada rakyat mahu terima (Najib) atau tidak, itu perkara yang lain,” kata Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) itu pada sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

Semalam, Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dalam satu kenyataan berkata, Dewan Tertinggi BN sebulat suara bersetuju melantik Najib sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat BN.

Beliau berkata, tugas Najib adalah untuk membantu BN dalam usaha mengembalikan semula sokongan rakyat kepada parti itu.

Sementara itu, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyindir pelantikan berkenaan, dengan menyifatkan bekas Perdana Menteri itu mungkin dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat BN kerana beliau ada terlalu banyak masa terluang.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson, berkata Najib mungkin sibuk pada sebelah pagi untuk menghadiri mahkamah kerana berdepan pelbagai tuduhan rasuah dan salah guna kuasa, namun memiliki banyak masa pada sebelah petang.

“Apa lagi yang boleh mereka buat. Saya rasa mereka mahu memberikannya sedikit kerja kerana dia (Najib) terlalu banyak masa terluang.

“Kecuali pada waktu siang kerana dia perlu hadir ke mahkamah, dia agak bebas pada sebelah petang,” katanya sinis.

Najib mengumumkan meletak jawatan Presiden UMNO dan Pengerusi BN pada 12 Mei tahun lalu, iaitu tiga hari selepas kerajaan pimpinannya tumbang pada PRU-14.

Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin pula berkata beliau tidak gembira dengan pelantikan itu.

“Secara tiba-tiba, saya tidak lagi gembira berada di mana saya berada sekarang,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen.

Isnin lalu, Khairy membayangkan akan kekal dalam UMNO apabila berkata beliau ketika ini masih gembira berada di mana dirinya berada ketika mengulas pelawaan Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Veteran UMNO yang juga Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, pula berkata pelantikan Najib itu tidak membantu usaha memulihkan parti itu dan BN.

Katanya, tiada sebarang nasihat yang sesuai diberikan Najib kerana UMNO dan BN tumbang di bawah pentadbirannya.

“Saya tak rasa begitu (sama ada pelantikan Najib mampu bantu pulihkan UMNO dan BN).

“Kita kalah di bawah siapa? Nasihat apa yang boleh dia (Najib) berikan,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Sementara itu, ditanya mengenai pelawaan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk ahli parti Melayu termasuk UMNO menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Mohamed Nazri berkata ia sudah terlewat kerana UMNO sudah menjalin kerjasama dengan PAS.

4615 dibaca
Berita Harian X