Rabu, 10 Julai 2019 | 6:41pm
Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Pelantikan Najib satu kejutan - Ku Li

KUALA LUMPUR: Seorang veteran UMNO tidak menolak kemungkinan budaya dan pengaruh ‘warlord’ kembali menguasai UMNO susulan pelantikan Datuk Seri Najib Razak sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN).

Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah, berkata pelantikan Najib juga satu kejutan kerana beliau tidak dimaklumkan lebih awal mengenainya.

Bagaimanapun, beliau percaya situasi yang dihadapi UMNO ketika ini, hanyalah ujian yang bersifat sementara.

“Mungkin (warlord kembali muncul dan mengatasi kumpulan pembaharuan dalam UMNO). Tapi saya rasa ini hanya fasa sementara dan ujian untuk kita semua.

“UMNO bukan milik ahlinya semata-mata kerana ia milik semua lapisan masyarakat, sama seperti BN, ia parti nasional. Pemimpin datang dan pergi,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada pelantikan Najib menggambarkan bahawa ‘warlord’ kembali muncul dan menguasai UMNO, mengatasi kumpulan yang mahukan pembaharuan dalam parti itu.

Semalam, Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dalam satu kenyataan berkata Dewan Tertinggi BN sebulat suara bersetuju melantik Najib sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat BN.

Tengku Adnan berkata, tugas Najib adalah untuk membantu BN dalam usaha mengembalikan semula sokongan rakyat kepada parti itu.

Mengulas lanjut, Tengku Razaleigh berkata, pelantikan Najib itu tidak salah kerana BN dan UMNO memerlukan sokongan semua pihak untuk menghidupkan semula kedua-dua parti itu.

Walaupun Najib berdepan pelbagai tuduhan mahkamah, katanya, bekas Perdana Menteri itu tidak semestinya menjadi beban kepada UMNO dan BN.

Ditanya pandangan veteran UMNO, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz yang menyifatkan tiada nasihat yang boleh diberikan Najib kerana UMNO dan BN tumbang di bawah pimpinannya, Tengku Razaleigh berkata tidak semua nasihat Najib perlu dituruti.

“Mungkin kita akan diuji daripada segi apakah nasihat yang kita patut terima (daripada Najib),” katanya.

4775 dibaca
Berita Harian X